Rabu, 1 September 2021 | 9:31pm
Penduduk di kawasan Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan membawa bekas untuk mengisi air yang disediakan syarikat Pengurusan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi sejak pagi semalam susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih kerana pencemaran bau ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
Penduduk di kawasan Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan membawa bekas untuk mengisi air yang disediakan syarikat Pengurusan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi sejak pagi semalam susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih kerana pencemaran bau ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA

Bekalan air pulih di 66 peratus kawasan

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 66 peratus daripada 463 kawasan yang terjejas disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, sudah pulih hingga jam 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata kadar pemulihan bekalan air di daerah yang terjejas iaitu Hulu Langat mencapai 90.7 peratus manakala Putrajaya (82.6 peratus), Sepang (81.4 peratus), Kuala Langat (75 peratus) dan Petaling (37.2 peratus).

Air Selangor menyarankan pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili mengalir hingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebanyak 463 kawasan di lima daerah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pagi semalam.

Pencemaran yang dikesan pada jam 11.10 pagi menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Elina berkata, bantuan bekalan alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

"Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

"Sila rujuk aplikasi Air Selangor, laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram Air Selangor untuk maklumat bekalan air yang sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X