Rabu, 1 September 2021 | 4:32pm
Seorang penduduk di kawasan Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan membawa bekas untuk mengisi air disediakan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi sejak pagi semalam susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih kerana pencemaran bau ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
Seorang penduduk di kawasan Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan membawa bekas untuk mengisi air disediakan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi sejak pagi semalam susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih kerana pencemaran bau ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA

JAS siasat kilang di lembangan Sungai Semenyih

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang menjalankan siasatan punca pencemaran bau di Sungai Semenyih sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di lima daerah di Selangor, semalam.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata siasatan dijalankan sejak petang semalam dan disambung pada hari ini dengan memfokuskan siasatan ke atas kilang yang beroperasi di lembangan Sungai Semenyih.

"Melalui sampel air yang diambil JAS Selangor daripada sumber air mentah di Muka Sauk Jenderam Hilir, semalam terdapat ciri-ciri kimia seakan bahan pelarut atau 'solvent' dalam sampel air berkenaan.

"Justeru, siasatan dan pemeriksaan oleh JAS Selangor dilakukan secara bersasar ke atas kilang-kilang yang dikenal pasti menggunakan bahan pelarut dalam proses pengilangan masing-masing," katanya kepada BH, hari ini.

Menurut Nor Aziah terdapat banyak kilang yang beroperasi di lembangan Sungai Semenyih namun pada masa ini, skop pemeriksaan dapat dikecilkan dengan menumpukan siasatan ke atas kilang yang ada menggunakan bahan itu.

"Buat masa ini siasatan masih berjalan dan akan diteruskan dalam usaha kita mencari dan memastikan punca sebenar pencemaran bau yang berlaku itu.

"Proses siasatan akan mengambil masa beberapa hari kerana kita perlu menjalankan siasatan secara teliti ke atas kilang-kilang yang diperiksa," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, semalam berkongsikan kenyataan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang menerima aduan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada jam 11.20 pagi.

Menurutnya, siasatan dijalankan dan sampel air diambil daripada beberapa kawasan antaranya di Jambatan 1.5 Intake Jenderam Hulu, Intake Sungai Semenyih Air Selangor, Sungai Semenyih dan Sungai Rinching.

Bagaimanapun, tiada sebarang bau dikesan pada semua sampel air yang diambil itu dan ukuran kadar bau adalah 0 ton.

Media melaporkan 463 kawasan di lima daerah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pagi semalam.

Pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Berita Harian X