Rabu, 1 September 2021 | 4:06pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

26 peratus bekalan air terjejas sudah pulih

KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di 463 kawasan terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, sehingga jam 12 tengah hari tadi, kini mencapai 26 peratus.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata bagi pecahan peratusan pemulihan air mengikut wilayah, Hulu Langat mencatatkan 61.1 peratus, Sepang (43.3 peratus) dan Putrajaya (17.4 peratus).

Bagaimanapun, katanya, setakat ini Petaling dan Kuala Langat belum mencatatkan pemulihan.

"Tempoh pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan kerana ia tertakluk kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di semua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, Jumaat ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan, sebanyak 463 kawasan di lima daerah di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pagi semalam.

Pencemaran dikesan jam 11.10 pagi itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Elina berkata, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori tangki," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh merujuk aplikasi Air Selangor, laman web www.airselangor.com dan semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram Air Selangor untuk maklumat bekalan air yang sentiasa dikemas kini.

Berita Harian X