Rabu, 1 September 2021 | 9:32am
 Bekalan air bersih dan selamat di semua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula disalurkan secara berperingkat. - Foto hiasan
Bekalan air bersih dan selamat di semua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula disalurkan secara berperingkat. - Foto hiasan

Bekalan air bersih mula disalurkan berperingkat pagi tadi

KUALA LUMPUR: Bekalan air bersih dan selamat di semua kawasan yang terjejas dengan henti tugas

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula disalurkan secara berperingkat, bermula jam 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri, berkata bekalan air itu bagaimanapun dijangka akan pulih sepenuhnya di semua 463 kawasan terjejas pada jam 12 tengah malam, Jumaat ini.

"Air Selangor sudah menjalankan ujian kualiti air sudah dan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan.

"Air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga disahkan selamat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna," katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Sebanyak 463 kawasan di lima daerah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pagi semalam.

Pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Pada masa sama, Elina berkata, pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di semua kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat.

"Sebanyak 94 lori tangki air sudah digerakkan ke kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki," katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat bekalan air dari masa ke semasa melalui aplikasi Air Selangor, laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor.

Katanya, sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X