Selasa, 31 Ogos 2021 | 9:08pm
Operasi di MAEPS tidak terjejas akibat gangguan bekalan air. - Foto fail NSTP
Operasi di MAEPS tidak terjejas akibat gangguan bekalan air. - Foto fail NSTP

Bekalan air di PKRC MAEPS mencukupi

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 463 kawasan Selangor dan Putrajaya, tidak menjejaskan operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), setakat malam ini.

Gangguan itu disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pagi tadi.

Pengarah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim, berkata pihaknya sudah berhubung dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan pusat operasinya.

"Kita sudah berhubung dengan Air Selangor untuk memastikan bekalan air mencukupi.

"Pihak terbabit turut menyediakan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) sepatutnya," katanya kepada BH, hari ini.

Air Selangor awal petang tadi memaklumkan gangguan itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Gangguan air turut menjejaskan bekalan Hospital Serdang, Hospital Universiti Putra Malaysia (HUPM yang berada dalam kawasan Petaling.

Berita Harian X