Selasa, 31 Ogos 2021 | 5:27pm

'Boleh perbaharui LKM di PUSPAKOM bermula esok'

PUTRAJAYA: Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) termasuk cukai jalan kenderaan persendirian di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bermula esok.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan berkata, inisiatif ini sebagai usaha pihaknya meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, ia juga bertujuan menyediakan kemudahan alternatif selain saluran perkhidmatan sedia ada di kaunter dan kiosk JPJ, Pos Malaysia, MyEG serta Portal mySIKAP JPJ.

Sejak tahun lalu, PUSPAKOM hanya menerima urusan pembaharuan LKM membabitkan kenderaan barangan dengan berat 7,500 kilogram ke bawah saja.

"Inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat di 39 pusat pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Fasa awal pelaksanaan pembaharuan LKM hanya akan membabitkan kenderaan persendirian sama ada milik individu atau syarikat.

"Inisiatif ini akan diperluaskan kepada urusan pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing yang dijangka bermula November ini," katanya.

Susulan itu, orang ramai yang ingin melaksanakan urusan pembaharuan LKM boleh membuat janji temu secara dalam talian di laman portal https://lkm-appointment.puspakom.com.my.

"Urusan secara walk-in tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19.

"Semua transaksi di kaunter PUSPAKOM menggunakan pembayaran secara tunai.

"Orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PUSPAKOM iaitu 03-5101 7000, e-mel customerservice@puspakom.com.my, mesej peribadi di Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd atau Live Chat melalui laman sesawang PUSPAKOM www.puspakom.com.my," katanya.

Berita Harian X