Isnin, 30 Ogos 2021 | 5:07pm
 Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto ihsan Selangor Royal Office
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto ihsan Selangor Royal Office

'Hayati erti merdeka, hargai tokoh terdahulu'

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, setiap rakyat perlu menghayati erti kemerdekaan sebenar, selain menghargai perjuangan tokoh terdahulu mencapai kemerdekaan negara pada 1957.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda juga mahu penghargaan sama ditujukan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang merawat dan menguruskan wabak COVID-19 ketika ini.

"Baginda menzahirkan penghargaan khususnya kepada kakitangan hospital dan pihak yang terbabit secara langsung seperti pengurusan jenazah serta pengebumian.

"Baginda amat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas ini dan mendoakan urusan mereka dipermudahkan serta sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat," titah baginda sempena memperingati sambutan hari kebangsaan esok.

Pada masa sama, baginda juga mengingatkan rakyat terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin COVID-19 masing-masing.

"Dengan menjiwai semangat merdeka dan patriotisme, baginda mahu rakyat tidak bersifat mementingkan diri dengan menolak pemberian vaksin yang boleh menjejaskan sasaran negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, seterusnya mengembalikan kehidupan rakyat seperti sedia kala," titah baginda.

Sementara itu, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Berita Harian X