Sabtu, 28 Ogos 2021 | 3:16pm
Antara kanak-kanak yang sedang bermain pasir di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Antara kanak-kanak yang sedang bermain pasir di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Pantai Port Dickson kembali 'bernafas'

PORT DICKSON: Pantai Port Dickson kembali meriah dengan pengunjung dalam negeri selepas beberapa bulan sepi tanpa pengunjung akibat pandemik COVID-19.

Tinjauan wartawan mendapati, peniaga juga kembali berniaga di sekitar destinasi pelancongan itu.

Nazrul Kassim, 30, yang datang dari Rembau bersama keluarganya, berkata beliau membawa isteri dan anak ke pantai itu untuk menghilangkan kebosanan selepas lama terkurung dalam rumah.

Peniaga, Affisusaini Abd Karim, 38, sedang membuat persiapan untuk menjual pelbagai juadah ketika ditemui di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Peniaga, Affisusaini Abd Karim, 38, sedang membuat persiapan untuk menjual pelbagai juadah ketika ditemui di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Pengunjung tiba di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Pengunjung tiba di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka dapat menghilangkan rasa bosan selepas sekian lama terperap dalam rumah, namun perlu berhati-hati kerana virus ini masih berleluasa.

"Sudah lama saya berjanji dengan anak-anak untuk membawa mereka bercuti dan mandi laut. Inilah masa yang sesuai dan orang pun tidak ramai," katanya.

Pengunjung dari Seremban, Noor Fadzli Shah Noor Hashim, 42, bersyukur kerana Negeri Sembilan sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang membolehkan beliau sekeluarga bercuti dalam negeri.

"Nasib baik kita ada pantai yang menarik di Port Dickson, dapatlah kita bercuti biarpun dalam negeri.

"Saya juga nampak keadaan masih selamat kerana pantai di sini panjang dan kita tak perlu berkumpul dalam kumpulan yang besar, cukup sekadar bersama keluarga sendiri dan masih ada penjarakan antara keluarga atau kumpulan," katanya.

Bagi peniaga, Affisusaini Abd Karim, 38, hari ini adalah hari pertama beliau mula berniaga selepas beberapa bulan sebaik pantai dibuka kepada pengunjung.

"Memang terasa kerana berniaga adalah sumber pendapatan utama kami di sini namun kita akur kerana masalah ini adalah masalah global seluruh dunia dan berharap agar keadaan semakin pulih dari masa ke semasa.

"Namun, pada masa sama, kita mengharapkan pengunjung berdisiplin dan menjaga penjarakan sosial.

"Sama-sama kita berdoa supaya keadaan bertambah baik dan kita boleh terus mencari rezeki di sini, 'kita jaga kita'," katanya yang menjual makanan ringan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa, berkata pihaknya sudah bersedia menerima pengunjung secara berperingkat bagi memeriahkan kembali seluruh pantai Port Dickson.

Beliau berkata, pihaknya terus menjalankan pemantauan bagi memastikan pengunjung dan peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami berterima kasih kepada Tourism Port Dickson yang bekerjasama dalam perkara ini. Pada masa sama, kami juga sudah berbincang dengan pihak tertentu bagi menerima pengunjung luar sebaik sahaja kebenaran diberikan.

"Banyak program bertaraf antarabangsa dijalankan di sini, yang menarik pengunjung ke Pantai Peranginan Negara ini," katanya.

Berita Harian X