Rabu, 25 Ogos 2021 | 8:18pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

10 lokaliti di Sabah kena PKPD

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 lokaliti di Sabah dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Jumaat sehingga 9 September ini.

Selain itu, PKPD dilaksanakan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru sejak tengah malam ini sehingga 8 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, MKN Datuk Rodzi Md Saad, berkata lokaliti di Pahang yang dikenakan PKPD adalah Ladang Cheekah, Bera, bermula 27 Ogos sehingga 9 September.

"Sebanyak 10 lokaliti di Sabah dikenakan PKPD iaitu tiga di Telupid iaitu Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi dan Ladang Melia.

"Dua lokaliti di Penampang membabitkan Beverly Hills Fasa 5 dan Kampung Nambazan, manakala Kampung Lohan Ulu dan Kampung Libang di Ranau.

"Ia termasuk di Rancangan Batu 22 Apas, Tawau; Kampung Landung Ayang, Kudat serta Kampung Pengalat Kecil, Papar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Rodzi berkata, berdasarkan analisis Kementerian Kesihatan (KKM), lapan lokaliti PKPD di Sabah yang dijadualkan tamat hari ini, dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 September.

Katanya, lokaliti terbabit adalah Kampung Betutai, Kampung Bontoi, Kampung Kindu, Kampung Serusop, Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria di Tuaran; selain Kampung Bergosong, Pulau Sebatik serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu 8, Tawau.

"Sebanyak 15 lokaliti PKPD masing-masing tiga di Kelantan dan 12 di Sabah ditamatkan seperti dijadualkan tengah malam ini (malam tadi)," katanya.

Beliau turut berkata, PKPD 12 lokaliti di Sabah dan tiga perkampungan Orang Asli di Kelantan ditamatkan tengah malam esok.

Katanya, lokaliti yang ditamatkan PKPD adalah Kampung Bolong Baru, Kampung Sungai Damit dan Kampung Simpangan, Tuaran; Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1, Kinabatangan; Kampung Lahat-Lahat, Pulau Sebatik dan Kampung Kongsi 8, Tawau.

"Ia termasuk dua perumahan ladang di Beluran dan Kampung Kayu Madang, Telipok, Kota Kinabalu; Kampung Batition, Kota Marudu dan Kampung Sunsuron, Tambunan.

"Tiga perkampungan Orang Asli yang ditamatkan PKPD di Gua Musang, Kelantan adalah Kampung Jedip WCT, Kampung Seng Sang dan Kampung Sendrop," katanya.

Berita Harian X