Selasa, 24 Ogos 2021 | 8:10pm

Stadium Negeri Kuala Terengganu jadi PKRC bersepadu

KUALA TERENGGANU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu dibuka di Stadium Negeri Kuala Terengganu bermula esok bagi menempatkan pesakit COVID-19 lelaki.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, berkata ia menjadi PKRC bersepadu pertama di Terengganu yang dikhaskan untuk pesakit daripada kategori satu hingga empat.

Beliau berkata, pembukaan PKRC itu juga dibuat sebagai langkah proaktif susulan peningkatan kes COVID-19 selain persediaan sekiranya PKRC di pusat pengajian ditutup.

"Ini antara persiapan (berikutan) pertambahan kes yang sejak akhir-akhir ini jarang berada di bawah 500 (kes) sehari namun sebahagian besar kes berada pada kategori satu dan dua sahaja.

"(Pembukaan) ini lebih kepada persiapan kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika institut pengajian tinggi (IPT) seperti UiTM Chendering dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dijadikan PKRC dibuka untuk sesi pengajian.

"Pusat kuarantin ini mampu menampung seramai 390 pesakit pada satu-satu masa selain turut dilengkapi dengan bekalan oksigen.

"Bagaimanapun, ketika ini, kita hanya menyediakan sebanyak 326 katil dan jumlahnya akan ditambah mengikut keadaan semasa," katanya ketika Majlis Penyerahan Stadium Negeri Kuala Terengganu sebagai PKRC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh.

Sebanyak 326 katil disediakan untuk pesakit COVID19 PKRC Stadium Negeri Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori
Sebanyak 326 katil disediakan untuk pesakit COVID19 PKRC Stadium Negeri Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Dr Alias berkata, buat permulaan, seramai 40 pesakit dari PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuala Terengganu akan dipindahkan ke PKRC bersepadu ini bermula esok dan 35 petugas ditempatkan bagi melancarkan urusan di PKRC berkenaan.

Katanya, jumlah petugas akan ditambah mengikut keperluan dan kedudukan pusat kuarantin berkenaan yang terletak berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah bukan sahaja dapat memudahkan urusan tetapi mampu memuatkan lebih ramai pesakit.

"PKRC ini adalah pusat kuarantin ketujuh di Terengganu yang boleh menempatkan pesakit dari seluruh Terengganu termasuk pesakit kategori empat," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak (dua kanan) meninjau PKRC di Stadium Negeri Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak (dua kanan) meninjau PKRC di Stadium Negeri Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X