Isnin, 23 Ogos 2021 | 7:40pm
Foto hiasan
Foto hiasan

24 lokaliti di Sabah, Pahang kena PKPD

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 23 lokaliti di Sabah dan satu di Pahang selama dua minggu, bermula Rabu ini hingga 7 September depan.

Di Sabah, PKPD dilaksanakan di enam lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Cenderamata 2 dan Kampung Cempaka, Likas; Kampung Inanam Laut; Kampung Bambangan, Inanam; Kampung Kelingau, Kampung Lapasan dan Taman Kuala Menggatal.

PKPD turut membabitkan empat lokaliti di Penampang iaitu Delta Height; Kampung Sindaanan; Rainfield Garden dan Maju Kota Lights Industry, Jalan Lama Penampang.

Selain itu, empat lokaliti di Tawau iaitu Kampung Tanjung Batu Tengah; Taman Ranggau Saujana; Kampung Sungai Tamang, Pulau Sebatik dan Tanjung Batu Laut, Logpon turut dikenakan PKPD.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di Sabah turut meliputi tiga lokaliti di Kinabatangan iaitu Kampung Pelangi; Kampung Seri Manis dan Ladang Sungai Pin.

"PKPD turut akan dilaksanakan di dua lokaliti di Lahad Datu iaitu Perumahan Ladang Felda Sahabat 55 dan Taman Perumahan Satu serta dua lokaliti di Papar iaitu Taman Limauan di Kinarut dan Kampung Mondikot.

"PKPD di Sabah turut membabitkan Ladang Mawang di Kalabakan dan kilang papan Kem Sawmil Mengayam Sri Arjuna di Sipitang.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini juga memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, Pahang dan kesemua PKPD dilaksanakan bermula 25 Ogos (Rabu) hingga 7 September ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD itu diambil selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Rodzi berkata, MKN turut memutuskan PKPD di 25 lokaliti di Pahang, Sabah dan Perak yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan dua minggu lagi.

"Antaranya PKPD Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang dan dua PKPD di Sabah iaitu Taman Kinarut Ria, Papar dan Kampung Tuaran, Tuaran.

"Pelanjutan PKPD turut membabitkan 22 lokaliti perkampungan Orang Asli (OA) di daerah Batang Padang, Perak," katanya.

Rodzi berkata, ia meliputi tiga lokaliti di Mukim Bidor iaitu Kampung Senta; Kampung Chang dan Kampung Sanding serta PKPD Kampung OA Menderang di Mukim Sungkai.

"Pelanjutan PKPD juga membabitkan 18 lokaliti di Mukim Batang Padang iaitu Kampung OA Batu 6, Kampung OA Batu 14, Kampung OA Batu 16, Kampung OA Batu 17, Kampung OA Batu 19, Kampung OA Batu 19; Kampung Kenderong; Kampung Sungai Rensa; Kampung Sungai Chendon dan Kampung Sungai Odak.

"Selain itu, Kampung Ampangan; Kampung Pos Woh; Kampung OA Batu 7 dan 7 1/2, Kampung Sungai Bot Dalam, Kampung Sungai Bot Luar, Kampung Sungai Tidong, Kampung Lubok Gaharu dan Kampung Woh Intake," katanya.

Rodzi berkata, MKN juga memutuskan menamatkan PKPD 10 lokaliti di seluruh negara, esok termasuk kuarters pekerja Ladang Palmlyn, Mukah, Sarawak yang ditamatkan tujuh hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan.

Penamatan PKPD esok turut membabitkan tapak bina IBN Highland, Genting Highlands, Bentong, Pahang; Taman Sri Bayu, Tumpat, Kelantan; Taman Meru 2B, Kinta, Perak; dan dua lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan PPR Taman Sri Titingan.

Lokaliti lain di Sabah yang ditamatkan PKPD esok ialah Kem 2 Tolokoson, Tenom dan Kampung Sarikan, Nabawan serta dua lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Lapasan dan Kampung Timbok.

Berita Harian X