Khamis, 19 Ogos 2021 | 9:56am

Saksi nampak dua penunggang motosikal hanyut depan mata

GUAR CHEMPEDAK: "Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya nampak sendiri kepala air turun sebelum menghanyutkan dua penunggang motosikal di belakang hanya sekelip mata."

Saksi kejadian kepala air dari puncak Gunung Jerai 'mengganas', Norhazle Othman, 36, berkata ia berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika dia dalam perjalanan pulang dari kerja di Muzium Perhutanan Gunung Jerai dalam keadaan hujan renyai.

Ketika itu dia bersama seorang pekerja warga Bangladesh, Aminullah Budi Alam, 21, menunggang motosikal berasingan untuk menuruni kawasan gunung itu pulang ke rumah.

"Ketika kami berada di belakang sebuah kereta, ternampak pokok tumbang di hadapan. Kami parkir motosikal dan membantu pemandu kereta itu tetapi tiba-tiba terdengar bunyi meletup dengan kuat dari belakang sebelum ternampak kepala air berlaku," katanya ketika ditemui di Pos 2, Gunung Jerai, malam tadi.

Menurut Norhazle, dia bertindak menyelamatkan diri dan hanya mampu menyaksikan dua penunggang motosikal dibawa arus deras kerana kepala air itu turun betul-betul di tempat mereka berada.

Katanya, bunyi kuat arus deras sangat kuat kerana kepala air itu turut membawa batu dan pokok.

Mayat mangsa ditemui di kawasan rekreasi Titi Hayun. - Foto Bomba
Mayat mangsa ditemui di kawasan rekreasi Titi Hayun. - Foto Bomba

"Malah ketika kejadian, sebuah kereta yang berada di belakang dua motosikal itu mujur selamat walaupun hampir terjunam ke dalam gaung.

"Perasaan takut hanya Allah saja yang tahu kerana tak pernah saya tengok kepala air sebegitu kuat," katanya.

Katanya, sebelum kejadian, hujan lebat melanda kawasan itu dan berhenti selepas sejam kemudian menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pulang ketika hujan renyai.

Norhazle berkata, motosikalnya turut dihanyutkan air sejauh empat meter dan tersangkut di bahagian tepi jalan.

"Saya dan Aminullah hanya menunggu di pos 2 sehingga mendapat bantuan pasukan penyelamat jam 9.30 malam tadi," katanya.

Norhazle dan Aminullah selamat dibawa turun oleh pasukan bomba dan dibantu oleh Malim Gunung Jerai.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata setakat ini terdapat 20 pekerja Jerai Hill Resort masih berada di puncak Gunung Jerai kerana terkandas akibat kejadian itu.

Keadaan sebuah chalet yang musnah di Kampung Setol disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Keadaan sebuah chalet yang musnah di Kampung Setol disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Penduduk melihat keadaan rumah yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Penduduk melihat keadaan rumah yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kerosakan akibat fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai, semalam. - Foto ihsan pembaca
Kerosakan akibat fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai, semalam. - Foto ihsan pembaca

Rumah penduduk dilanda banjir kilat akibat kejadian kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai.- Foto NSTP Luqman Hakim Zubir
Rumah penduduk dilanda banjir kilat akibat kejadian kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai.- Foto NSTP Luqman Hakim Zubir

YAN 19 AUGUST 2021. Keadaan jalan yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
YAN 19 AUGUST 2021. Keadaan jalan yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X