Khamis, 19 Ogos 2021 | 7:28am

Banjir Yan: Penduduk ibaratkan seperti tsunami kecil

YAN: Fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai di sini petang semalam, umpama 'tsunami' kecil susulan keadaannya yang berombak kuat sehingga mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh dengan sekelip mata.

Begitulah yang diceritakan oleh seorang penduduk Salwa Md Isa, 34, apabila melihat keadaan air deras luar biasa di sungai berhampiran rumahnya, ketika kejadian kepala air dari puncak Gunung Jerai 'mengganas' sehingga mengakibatkan banjir besar di kawasan sekitarnya.

"Sepanjang saya membesar di kampung ini, ia kali pertama berlaku kejadian seperti ini. Kepala air ini dah biasa berlaku tetapi tidaklah sehingga titi dan jalan runtuh, kereta hanyut serta ada yang meninggal, saya rasa sangat takut," katanya kepada pemberita di Kampung Setol di sini, malam tadi.

Salwa berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 5 petang dan air mulai surut lebih kurang 7.30 malam tadi, dan bencana itu juga telah menyebabkan bekalan air di rumahnya terputus.

Mohd Nasir Shuib, 41, pula berkata dia melalui pengalaman mengerikan apabila menemukan mayat seorang lelaki berumur lingkungan 60-an, pada 5.30 petang semalam.

"Saya lihat air sungai berdekatan rumah saya ini mengalir laju, bunyi kuat pelik lain macam, air datang begitu laju hanyut sekali kayu balak semua hingga rumah saya dan jiran ditenggelami air," katanya.

Mohd Nasir berkata, hujan lebat di puncak Gunung Jerai sejak beberapa hari lepas mungkin telah menyebabkan air terkumpul dan turun secara mengejut, hingga membawa bencana buruk.

"Kejadian ini terburuk berlaku, pekan Yan yang tak pernah tenggelam, hari ni tenggelam," katanya.

Kerosakan akibat fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai, semalam. - Foto ihsan pembaca
Kerosakan akibat fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai, semalam. - Foto ihsan pembaca

Keadaan Banjir di Yan, Kedah. - Foto ihsan pembaca
Keadaan Banjir di Yan, Kedah. - Foto ihsan pembaca

Penduduk melihat keadaan rumah yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Penduduk melihat keadaan rumah yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Seorang lagi penduduk Jaafar Man, 62, berkata buat masa ini, beliau dan keluarga sedang berlindung di dalam bangunan yang lebih tinggi, kerana bimbang paras air kembali naik.

Jaafar yang juga pemilik Kem Kenari Nature Park di kawasan Titi Hayun berhampiran Gunung Jerai itu berkata, kawasan kem berkenaan telah ditenggelami air serta pasir sehingga paras pinggang.

"Buat masa ini, saya serta tujuh lagi ahli keluarga berada dalam keadaan selamat. Bekalan elektrik, makanan dan minuman semua masih ada dan mencukupi pada masa ini, hanya bekalan air terputus.

"Hujan lebat petang tadi telah menyebabkan banyak fasiliti di kem termasuk rumah inap, surau, kolam, ruang mesyuarat dan kantin ditenggelami air.

"Banyak juga cermin dan struktur bangunan pecah akibat dilanggar kayu balak yang dihanyutkan," katanya yang telah mengusahakan kem rekreasi berkenaan selama 21 tahun. - BERNAMA

Keadaan banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Keadaan banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

YAN 19 AUGUST 2021. Keadaan jalan yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
YAN 19 AUGUST 2021. Keadaan jalan yang dinaiki air di Kampung Titi Bakong disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Anggota keselamatan menutup laluan masuk ke Gunung Jerai disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran gunung itu. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Anggota keselamatan menutup laluan masuk ke Gunung Jerai disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran gunung itu. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Keadaan banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Keadaan banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X