Selasa, 17 Ogos 2021 | 2:04pm

Ahmad Zahid, Mukhriz, tiba di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi pemimpin parti kedua tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau tiba pada jam 1.50 tengah hari, diikuti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selang lima minit kemudian.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tiba menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire pada jam 1.30 tengah hari.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di Istana Negara sebentar tadi. - NSTP/Aswadi Alias
Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di Istana Negara sebentar tadi. - NSTP/Aswadi Alias

Ketika ini lebih 50 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu 2 Istana Negara bermula sejak jam 11 pagi tadi, menanti ketibaan pemimpin parti politik terbabit.

Media semalam melaporkan pemimpin parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, dipercayai berkaitan dengan perbincangan berhubung siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Perbincangan itu susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Pengamal media di pekarangan pintu dua Istana Negara susulan beberapa pemimpin politik dijangka akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. - NSTP/Aswadi Alias
Pengamal media di pekarangan pintu dua Istana Negara susulan beberapa pemimpin politik dijangka akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. - NSTP/Aswadi Alias

 Kenderaan membawa Ahmad Zahid tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. NSTP/ASWADI ALIAS.
Kenderaan membawa Ahmad Zahid tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. NSTP/ASWADI ALIAS.
Berita Harian X