Isnin, 16 Ogos 2021 | 10:10pm
Foto hiasan. - BERNAMA
Foto hiasan. - BERNAMA

PM baharu perlu buat usul undi percaya

KUALA LUMPUR: Mana-mana Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan sokongan dimiliki menerusi undi percaya di Dewan Rakyat.

Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berpendapat langkah itu perlu bagi mengabsahkan sokongan majoriti dimiliki, sekali gus mengelakkan daripada krisis politik ketika ini berulang lagi.

"Sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengemukakan undi percaya di Dewan Rakyat, sedangkan itu cara terbaik untuk buktikan sokongan majoriti yang dimiliki.

"Untuk mengelak krisis ini berulang, mungkin Yang di-Pertuan Agong boleh meminta Perdana Menteri baharu segera memanggil sidang Parlimen selepas dilantik dan mengusulkan undi percaya.

"Ini mungkin cara yang lebih berkesan bagi mengabsahkan sokongan yang dimiliki, sekali gus jelas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Ahli Parlimen bahawa Perdana Menteri yang dilantik itu memiliki sokongan majoriti," katanya kepada BH.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Krisis politik yang berlaku ketika ini hampir sama seperti yang berlaku pada Februari tahun lalu yang menyaksikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan selepas parti BERSATU dan 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Bagi memilih Perdana Menteri baharu dan mengelak pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika pandemik, Yang di-Pertuan Agong memanggil semua 222 Ahli Parlimen bagi mengetahui individu disokong untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Nik Ahmad Kamal berkata, terpulang kepada Al-Sultan Abdullah untuk menentukan kaedah paling sesuai untuk membuktikan Ahli Parlimen mana yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Pada masa sama, katanya, Yang di-Pertuan Agong juga boleh melantik Ahli Parlimen yang belum memiliki sokongan mencukupi sebagai Perdana Menteri baharu, seandainya baginda berpandangan individu itu akan mendapat sokongan majoriti.

"Situasi ini boleh berlaku jika tiada calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen, namun ada antaranya adalah individu berkaliber, berpotensi dan boleh mendapatkan sokongan majoriti.

"Ini selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan, iaitu Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin atau 'likely' mendapat kepercayaan majoriti," katanya.

Berita Harian X