Sabtu, 14 Ogos 2021 | 11:51am

BSN sumbang RM2.5 juta jayakan Program CERDIK

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyumbangkan RM2.5 juta kepada Program CERDIK iaitu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (MOE) serta Kementerian Kewangan (MOF).

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata program ini dilaksanakan bertujuan menyediakan akses digital seperti komputer riba, tablet dan sambungan data atau 'data connection' kepada murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Sumbangan RM2.5 juta ini adalah bagi membantu lebih 1,300 pelajar dari 16 buah sekolah di Negeri Perak, Selangor, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Sarawak daripada keluarga B40 bagi merapatkan jurang proses pembelajaran secara dalam talian, e-learning serta pembelajaran luar kelas 'outside-classroom teaching' semasa pandemik COVID-19.

"BSN sedia maklum bahawa institusi pembelajaran kini lebih terarah kepada model pembelajaran secara digital. Justeru, melalui inisiatif ini diharapkan agar mereka berpeluang memiliki akses pendidikan yang berkualiti seperti pelajar-pelajar lain" kata.

Jay berkata, penyertaan BSN dalam Program CERDIK yang dikelolakan Yayasan Hasanah selaku sekretariat inisiatif itu adalah antara usaha berterusannya dalam menyediakan keperluan asas persekolahan bagi pelajar yang memerlukan.

Katanya, usaha itu juga adalah selari dengan nilai jenama CSR BSN, BSN Care di bawah teras Pendidikan.

"BSN sentiasa komited dalam mengendalikan program-program khususnya bagi pelajar kurang berkemampuan seperti Program 'Jom To School Spectacular' (JTS Spectacular), Program 'Murid Spec-tacular' dan sebagainya.

"Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti serta program BSN Care, sila layari laman sesawang BSN www.bsn.com.my," katanya.

Berita Harian X