Sabtu, 14 Ogos 2021 | 9:53am
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Khamis lalu menerima aduan berkenaan kejadian ikan mati di Sungai Penchala. - Foto FB KASA
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Khamis lalu menerima aduan berkenaan kejadian ikan mati di Sungai Penchala. - Foto FB KASA

Limpahan efluen mentah punca ikan mati di Sungai Penchala

PUTRAJAYA: Sebuah premis yang terletak di Jalan Profesor Khoo Kay Kim, Petaling Jaya diarah menghentikan operasi selepas berlaku pelepasan limpahan efluen mentah daripada tangki Equalisation Tank premis sehingga menyebabkan insiden hidupan air di Sungai Penchala mati, Khamis lalu.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan di Facebooknya, berkata pada jam 8 pagi Khamis lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menerima aduan berkenaan kejadian ikan mati di Sungai Penchala.

Katanya, susulan aduan itu JAS melakukan siasatan di sepanjang sungai itu termasuk di dalam kawasan perindustrian serta loji kumbahan yang berpotensi menyebabkan pencemaran di sungai berkenaan sebelum menemui punca pencemaran di premis terbabit.

"Siasatan JAS juga mendapati ketika kejadian, tiada Orang Yang Berwibawa (OYB) bertugas. JAS sudah mengarahkan supaya pemilik premis menghentikan operasi dan mengambil tindakan pembaikan dengan segera.

"Jabatan Perikanan Daerah Petaling juga menjalankan persampelan ke atas ikan yang mati dan hasil siasatan forensik akan akan dilaporkan kepada pihak JAS bagi mendapatkan punca kejadian sebenar," katanya.

Pada masa sama, insiden itu juga sudah dimaklumkan kepada agensi berkaitan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN dan Jabatan Perikanan Daerah Petaling untuk tindakan selanjutnya.

Kementerian itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Berita Harian X