Khamis, 12 Ogos 2021 | 2:59pm
Kerajaan melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) bagi memperkenalkan semula peranan dan memperbaharui kemampuan GLIC. - Foto hiasan
Kerajaan melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) bagi memperkenalkan semula peranan dan memperbaharui kemampuan GLIC. - Foto hiasan

PERKUKUH perkenal semula peranan, perbaharui kemampuan GLIC - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) bagi menyusun semula peranan dan memperbaharui kemampuan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PERKUKUH merangkumi 20 inisiatif utama bagi mencapai lima hasil utama, iaitu mandat yang lebih jelas bagi setiap GLIC; peningkatan tumpuan terhadap pelaburan untuk pembangunan dan yang menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan baharu dan meningkatkan kesan sosio-ekonomi.

Selain itu, katanya, menyemarakkan lagi pelaburan di dalam sektor swasta sambil menyelaraskan peranan kerajaan dan agensinya dalam perniagaan; mewujudkan GLIC yang bersiap siaga menghadapi masa hadapan dengan tadbir urus, keupayaan dan strategi terbaik serta memperkukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal

"PERKUKUH secara asasnya asasnya bermula dengan pengikitirafan mandat, struktur pembiayaan dan profail risiko pelbagai GLIC yang terlibat. Khususnya, GLIC akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Dana Kekayaan Negara atau Sovereign Wealth Fund, yang merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc.

"Kategori kedua adalah pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," katanya ketika melancarkan PERKUKUH secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, akan ada penyeimbangan semula fokus di antara pulangan kewangan dan hasil sosio-ekonomi dengan keutamaan utama adalah pelaburan modal berhemah melalui pendekatan lebih strategik dan disasarkan ke bidang pertumbuhan baharu.

Katanya, GLIC kategori Pelabur Institusi pula akan mempertahankan mandat untuk memaksimumkan pulangan pencarum, sama ada pesara pada masa depan mahupun mereka yang ingin menunaikan haji, sambil memainkan peranan sinergistik dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini akan merangkumi pendekatan yang lebih mantap dan lebih berskala besar bagi merangkumi tanggungjawab sosial korporat serta menyokong keutamaan nasional seperti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pembiayaan pelaburan hijau," katanya.

Muhyiddin berkata, PERKUKUH juga akan mengoptimumkan operasi SWF dan Pelabur Institusi yang relevan yang mana pengurusan kelas aset tertentu akan digabungkan untuk mencapai ekonomi skala dan pulangan lebih baik.

"Dengan wujudnya mandat jelas, setiap GLIC berupaya menajamkan lagi fokus bagi peranan dipertanggungjawabkan dan memaksimumkan impak dalam portfolio serta bidang kepakaran masing-masing," katanya.

Perdana Menteri berkata, PERKUKUH akan mendorong peruntukan modal optimum dan memperincikan lagi hasil disasarkan dalam bidang pertumbuhan baharu yang amat strategik.

"Untuk memastikan bidang ini selaras langkah dasar utama kerajaan seperti MyDigital, Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang bakal dilaksanakan, saya akan mempengerusikan majlis khas iaitu Majlis Penyelarasan Pertumbuhan Baharu yang akan ditubuhkan.

"Ekosistem dibina bagi bidang pertumbuhan baharu akan dirancang untuk memacu peningkatan pelaburan sektor swasta bagi jangka panjang. Khazanah Nasional Berhad misalnya, akan memulakan pembangunan ekosistem pertumbuhan baharu melalui Dana Impak bernilai RM6 bilion.

"Ketika ini, usaha giat dilakukan untuk memulakan pelaburan bersama beberapa pelabur institusi antarabangsa dan dana kekayaan negara lain," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Manfaat untuk semua pemegang kepentingan ekonomi'
  • Berita Harian X