Khamis, 12 Ogos 2021 | 11:58am
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP

Pertimbang semula tarif pembetungan - Tuan Ibrahim

PUTRAJAYA: Kadar tarif pembetungan di negara ini perlu dipertimbangkan semula dengan teliti bagi menampung kos operasi dan penambahan aset syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sejak perjanjian konsesi pada 1 April 1994 sehingga kini, IWK bertanggungjawab terhadap pengurusan aset utama sistem pembetungan membabitkan lebih 7,000 loji rawatan kumbahan serta menyelenggara paip pembetungan sepanjang 22,000 kilometer.

Beliau berkata, syarikat itu juga diminta menyelenggara kira-kira 1.3 juta tangki septik individu dan lebih 800,000 tangki tandas tradisional, peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding konsesi awal yang dimeterai.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar aset pembetungan awam di negara ini sudah lama dengan IWK kini berdepan cabaran memastikan ia beroperasi secara optimum dan pada masa sama perlu sentiasa menaik taraf sistem dan aset dengan kos yang efisien, teknologi efektif dan piawaian yang baharu.

"Peningkatan kualiti perkhidmatan akan memberi kesan kepada kos operasi IWK kerana sejak mula beroperasi, tarif perkhidmatan pembetungan kepada pengguna masih kekal sama dan tidak pernah disemak semula.

"Secara realiti, purata kos penyelenggaraan sistem pembetungan bagi setiap premis bersambung adalah kira-kira RM17 sebulan, berbanding tarif semasa iaitu antara RM2 hingga RM8 sebulan.

"Berdasarkan kajian yang dijalankan, semakan tarif perkhidmatan pembetungan wajar dipertimbangkan secara teliti bagi mengimbangi kos penyelenggaraan aset yang sudah lama, peningkatan tarif elektrik serta kemunculan ancaman baharu jenayah alam sekitar yang lebih rencam," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan IWK secara maya hari ini.

Melalui perjanjian itu, tempoh konsesi IWK sebagai syarikat konsesi perkhidmatan pembetungan negara dijadual tamat pada 31 Mac 2022 dilanjutkan sehingga 31 Disember 2034.

Perjanjian ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang mewakili kerajaan dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, M Narendran.

Tuan Ibrahim berkata, IWK memerlukan sumber kewangan yang stabil melalui pelan operasi perniagaan yang mampan selain bantuan kewangan daripada kerajaan berikutan kelestarian sumber air dan kesihatan awam sangat bergantung kepada keupayaan kewangan syarikat itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Selain perlanjutan tempoh konsesi, perjanjian tambahan ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif oleh IWK, termasuk penghasilan air pulih guna daripada bi-produk pembetungan yang boleh dibekalkan kepada industri sebagai sumber air alternatif.

"Pindaan perjanjian konsesi membolehkan IWK meneroka pelbagai potensi perniagaan lain berkaitan perkhidmatan pembetungan seperti penggunaan baja bagi tumbuhan bukan makanan dan pajakan kecil tanah pembetungan untuk sewaan kepada menara telekomunikasi, penghasilan tenaga solar atau kabel fiber optik," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, IWK dengan kerjasama pemain industri air lain akan memulakan inisiatif air pulih guna di Selangor, sebelum diikuti beberapa negeri lain.

Berita Harian X