Rabu, 11 Ogos 2021 | 9:55pm
 Foto hiasan.
Foto hiasan.

NUTP rayu tangguh buka sekolah 1 September

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 September ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata langkah itu perlu memandangkan semua pihak kini sedia maklum akan situasi penularan pandemik COVID-19 yang makin mengganas dengan jangkitan baharu harian amat tinggi mencecah lebih 20,000 kes.

"Walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30 peratus, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat. Hari ini jumlah kes positif sebanyak 20,780 kes. Setiap hari kadar kematian mencapai angka 100 hingga 300 orang.

"Melihat angka jangkitan harian, pastinya ibu bapa juga tidak yakin untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah. Ketika ini, NUTP menerima maklum balas daripada ibu bapa dan guru yang tidak berpuas hati dengan cadangan KPM membuka sesi persekolahan secara bersemuka mulai 1 September.

"Masa sama, sesi persekolahan hanya tinggal 10 minggu sahaja lagi dari 1 September hingga 11 Disember 2021," katanya kepada BH.

KPM dalam kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aminuddin berkata, susulan situasi semasa, NUTP menegaskan keperluan kerajaan menangguh pembukaan sekolah dan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi kekurangan PdPR seperti menaik taraf kemudahan internet.

"NUTP mengharapkan KPM mempertimbangkan masalah kelajuan internet yang dihadapi pelajar, selain menyalurkan bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

"Selain itu, tumpuan juga perlu diberikan kepada guru dengan pakej internet yang istimewa bagi membantu meningkatkan kemahiran guru dalam PdPR.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata selain menangguh pembukaan sekolah, KPM perlu supaya memberi tumpuan kepada membangunkan pelan pemulihan pendidikan negara secara menyeluruh.

Beliau berkata, pelan itu boleh menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang 'rosak teruk' akibat pandemik COVID-19 sepanjang tempoh dua tahun ini.

Katanya, sekolah hanya wajar dibuka semula selepas pelan itu diluluskan Parlimen yang akan diselaraskan dengan Bajet 2022 untuk sektor pendidikan.

"Tanpa kelulusan Parlimen, pembukaan semula sekolah adalah tindakan yang tidak memberikan kesan positif secara menyeluruh kepada proses pendidikan, khususnya dalam usaha memulihkan kembali keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.

"Ia perlu disusuli prinsip dan agenda khusus bagi pemulihan pendidikan melalui penambahbaikan proses penyampaian sistem pendidikan," katanya.

Anuar berkata, sekurang-kurangnya tiga agenda besar perlu diutamakan seperti memulihkan keciciran murid, meningkatkan pendigitalan pendidikan, mengubahsuai dan menambah prasarana atau infrastruktur pendidikan di sekolah.

"Begitu juga semakan kurikulum yang sedia ada. Contohnya, kurikulum dan amalan pembelajaran yang mementingkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan kebersihan perlu dijadikan satu daripada program dalam agenda pemulihan pendidikan negara.

"Satu daripada agenda penting dalam pelan pemulihan adalah pengurusan keciciran pembelajaran dialami murid sejak dua tahun lalu, khususnya murid Tahap Satu sekolah rendah.

"Begitu juga murid di kelas peralihan sekolah menengah. KPM perlu menyediakan program khas bagi membantu murid 'rentan pendidikan', terutama mereka daripada keluarga miskin dan B40," katanya.

Beliau berkata, KPM juga perlu memulakan program pembelajaran hibrid sebagai agenda utama penambahbaikan dalam pelan pemulihan dengan menambah baik akses internet di seluruh negara dan menyegerakan pemilikan peranti dalam kalangan murid.

"Perkenalkan secara meluas kemahiran pedagogi digital seperti sibergogi, heutagogi dan gamifikasi kepada guru untuk menjayakan pembelajaran hibrid," katanya.

Berita Harian X