Selasa, 10 Ogos 2021 | 1:50pm
EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman. - Foto NSTP/Amir Mamat
EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman. - Foto NSTP/Amir Mamat

Melaka dijangka ke Fasa 2 PPN bulan ini

MELAKA: Kerajaan negeri menjangkakan Melaka akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang akhir bulan ini.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata ia adalah berdasarkan kepada keputusan terbaharu mengenai indikator nilai ambang peralihan fasa PPN yang dibuat menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Beliau berkata, untuk nilai ambang baharu itu termasuklah kes bagi kategori tiga, empat dan lima yang dimasukkan ke hospital mestilah berada di bawah 12.2 kes berbanding 100,000 jumlah penduduk.

"Bagi kes dalam tempoh seminggu di negeri ini sehingga semalam, Melaka sebenarnya layak untuk beralih ke Fasa 2 apabila mencatat sejumlah 6.1 kes, namun jika dilihat kepada aspek vaksinasi pula, kita belum lagi boleh ke fasa berkenaan apabila jumlah penerima vaksin bagi dos kedua masih rendah.

"Sehingga semalam, penerima dos pertama di Melaka adalah 62.6 peratus, manakala bagi dos kedua pula hanya mencatatkan 35.3 peratus, sekali gus menyekat kita untuk beralih ke Fasa 2 PPN.

"Bagaimanapun, saya yakin dan memberi jaminan baki 15 peratus lagi untuk penerima dos lengkap akan dapat dicapai selewat-lewatnya hujung bulan ini," katanya selepas program gotong-royong menuai ubi untuk agihan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, di Bukit Nibong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, berkata daripada 360 kes positif semalam, seramai 11 individu atau 3.1 peratus berada di kategori tiga diikuti kategori lima (dua kes bersamaan 0.2 peratus) manakala tiada bagi kategori empat.

"Ini bermakna, insya-Allah kita akan melepasi indikator nilai ambang untuk Fasa 2 seperti ditetapkan MKN," katanya.

Kelmarin, media melaporkan bilangan kes kemasukan hospital yang bergejala digunakan sebagai satu daripada indikator peralihan fasa PPN.

Menteri Penyelaras, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pakar dan pengalaman antarabangsa serta domestik dan dibuat berdasarkan penelitian bahawa risiko penularan COVID-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Indikator itu menggantikan indikator sedia ada iaitu bilangan kes COVID-19 harian apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam Fasa 1 PPN mencapai kadar sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa.

Berita Harian X