Sabtu, 7 Ogos 2021 | 10:59am
Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

MPN akan pastikan PPN berjalan lancar

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirancang kerajaan berjalan lancar, selain mengukuhkan strategi kawalan wabak COVID-19 secara menyeluruh.

MPN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya di bawah PPN dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai ambang utama ditetapkan.

MPN dianggotai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.

Bagi memastikan usaha pemulihan negara mencakupi semua bidang, wakil sektor swasta, pakar industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menganggotai MPN untuk berkongsi pengalaman dan nasihat berdasarkan kepakaran masing-masing.

Ia bagi membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik COVID-19 secara sistematik dan selamat.

Semalam, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat kedua MPN yang mempertimbangkan pelbagai aspek PPN.

Mesyuarat itu membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data serta pandangan pakar kesihatan dan ekonomi membabitkan aspek kadar vaksinasi, status vaksinasi individu.

Turut diperinci ialah kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keperluan sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Keahlian tetap pakar industri MPN itu terdiri daripada Pengerusi Khazanah Research Institute, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bagi bidang ekonomi; bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar (institusi kewangan) serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Anthony Francis Fernandes (pelancongan).

Selain itu, Profesor Perubatan dan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (penjagaan kesihatan); Penasihat Kumpulan Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai (komunikasi); Presiden Persatuan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang (PKS) serta Prof Adjung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Habibah Abdul Rahim (pendidikan).

MPN turut dianggotai Pengasas Yayasan Chow Kit dan Pengarah Yayasan Siti Sapura Husin, Dr Hartini Zainudin (NGO) serta Profesor Psikiatri dan Perubatan Psikologi Monash University, Prof Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam (penjagaan kesihatan mental).

Tengku Zafrul sebelum ini berkata, keanggotaan wakil parti pembangkang, tokoh dan pakar dalam pelbagai bidang itu akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.

Kepelbagaian pendapat dan kepakaran dalam MPN juga katanya, diharap dapat menyumbang kepada pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi, penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP, selain sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan.

Berita Harian X