Ahad, 1 Ogos 2021 | 11:34pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Nur Dhabitah selepas menamatkan saingan tiga meter papan anjal individu pada Kejohanan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan keempat. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Nur Dhabitah selepas menamatkan saingan tiga meter papan anjal individu pada Kejohanan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan keempat. - Foto FB Muhyiddin Yassin

Syabas, senyumlah Nur Dhabitah! - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pencapaian penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang menamatkan saingan tiga meter papan anjal individu pada kejohanan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan keempat satu pencapaian membanggakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata aksi dan tentangan yang dipamerkan beliau dalam final petang tadi adalah amat mengagumkan.

"Syabas Nur Dhabitah!. Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar, termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang.

"Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau malam ini.

Biarpun tanpa pingat, Muhyiddin berkata, kelibat dan aksi anak muda berusia 22 tahun itu nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.

Dalam saingan akhir acara itu petang tadi, Dhabitah hampir berjaya untuk menaiki podium dalam acara tiga meter papan anjal individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo.

Terjunan terakhir daripada penerjun China, Shi Tingmao menyaksikan Dhabitah terlepas peluang untuk memenangi pingat gangsa apabila jatuh di tempat keempat keseluruhan daripada 12 peserta.

Begitupun, Dhabitah, 22, seharusnya berbangga dengan prestasinya yang berjaya mengutip 326.15 mata untuk memberi tentangan sengit sepanjang lima pusingan.

Berita Harian X