Sabtu, 31 Julai 2021 | 1:10pm
 Rina (kiri) melawat taska selepas Program Penyampaian Inisiatif PEMULIH di Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi. - NSTP/ AZHAR RAMLI
Rina (kiri) melawat taska selepas Program Penyampaian Inisiatif PEMULIH di Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi. - NSTP/ AZHAR RAMLI

3,000 pengusaha Taska digalak mohon bantuan PEMULIH

PUTRAJAYA: Kira-kira 3,000 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digalak menggunakan tempoh sepanjang Ogos ini untuk memohon bantuan khas menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata sejak pendaftaran dibuka pada 15 Julai lalu, JKM sudah menerima 1,101 permohonan daripada pengusaha.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM13.2 juta yang boleh dimanfaatkan seramai 4,400 pengusaha Taska di seluruh negara.

"Kita perlu memaklumkan perkara ini kerana pakej yang diumumkan itu perlu dinikmati rakyat yang memerlukan.

"Kementerian akan terus menguar-uarkan berhubung perkara ini termasuk melalui libat urus dilakukan dengan persatuan Taska," katanya selepas mengadakan pemantauan dan penyampaian inisiatif pakej PEMULIH, di sini, hari ini.

Beliau turut menyerahkan bantuan kepada lima pengusaha Taska iaitu Taska Nur Qasih Ixora; Taska Daun Biru dan Taska Cahaya Permata Dengkil yang masing-masing menerima RM3,000; manakala TASKA di rumah Kakak Ila dan Taska di rumah Rose Tarmizi menerima RM800.

Bantuan itu bagi meringankan beban pengurusan Taska terbabit terutama untuk pematuhan Panduan Pencegahan Penularan COVID-19 dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu disinfeksi di luar dan dalam premis, penyediaan peralatan penyukat suhu badan, bahan sanitasi, pelitup muka dan hidung serta kos pengurusan lain.

Rina berkata, setakat ini sebanyak 600 daripada 1,101 permohonan diterima sudah diluluskan, manakala selebihnya sedang diproses.

Beliau berkata, pemohon perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan, selain menyertakan dokumen pendaftaran dengan JKM.

Katanya, permohonan boleh dibuat pengusaha pelbagai kategori Taska iaitu Taska komuniti, Taska di tempat kerja dan Taska institusi serta Taska di rumah.

"Tiga kategori Taska akan mendapat bantuan RM3,000 dan Taska di rumah pula menerima RM800.

"Ia untuk membantu kos pengoperasian mereka termasuk menjalankan aktiviti nyah cemar dan membeli barang keperluan khusus untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini.

"Ini rentetan daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) apabila bantuan RM5,000 diberikan kepada (tiga kategori) Taska dan Taska di rumah mendapat bantuan RM1,500," katanya.

Berita Harian X