Jumaat, 30 Julai 2021 | 9:28pm
Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. - Foto fail NSTP
Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. - Foto fail NSTP

Kabinet tak perlu dapatkan nasihat jawatankuasa khas

KUALA LUMPUR: Kabinet tidak perlu mendapatkan nasihat daripada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam membuat keputusan berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang dilaksana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Md Shukri Shuib, berkata jawatankuasa itu hanya bersifat ad hoc dalam menasihati urusan berkenaan.

"Dalam hal ini, tugas eksekutif lebih utama daripada jawatankuasa dan ia terpulang kepada mereka yang melantik jawatankuasa itu untuk menggunakan khidmat (nasihat) jawatankuasa bebas itu atau tidak.

"Jawatankuasa ini bukanlah perjawatan yang tetap, nama pun jawatankuasa ad hoc, sekiranya diperlukan pandangan maka dia ambik la. Kita tidak boleh memaksa orang untuk terima pandangan sekiranya ia tidak diperlukan," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkan pelantikannya dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sebagai sia-sia susulan perkembangan isu pembatalan Ordinan Darurat.

Md Shukri berkata, isu pelantikan yang dianggap sia-sia itu tidak perlu timbul dan ia sekadar untuk mensensasi keadaan semasa.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil pula berkata bidang kuasa Kabinet adalah lebih tinggi daripada sebarang jawatankuasa yang dibentuk dan mereka berhak untuk membuat keputusan mengikut lunas undang-undang.

"Dalam hal ini, memang Perdana Menteri dan Kabinetnya telah membuat keputusan yang betul daripada segi bidang kuasa, cuma isu ini timbul kerana mereka menganggap Kabinet seharusnya mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu," katanya.

Mengenai bidang kuasa, Jamaie menjelaskan bahawa daripada segi pemerintahan, Perdana Menteri mempunyai kuasa pentadbir dan Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai simbol kepada ketaatan rakyat terhadap undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru daripada segi pentadbiran, Yang di-Pertuan Agong seharusnya mengikut nasihat Perdana Menteri dan jemaahnya seperti amalan biasa yang dilaksanakan di negara ini.

"Sepatutnya sebagaimana yang diamalkan di Malaysia selama ini, Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri.

"Namun apabila keadaan politik yang kurang stabil ketika ini, orang beranggapan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak yang mana persepsi dan pemahaman ini adalah salah sama sekali kerana pentadbiran oleh Perdana Menteri adalah lebih penting dan berkuasa," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X