Jumaat, 30 Julai 2021 | 3:09pm
Dr Adham (tiga kanan) dan Charles Santiago mengadakan lawatan mengejut ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). - Foto ihsan HTAR
Dr Adham (tiga kanan) dan Charles Santiago mengadakan lawatan mengejut ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). - Foto ihsan HTAR

Adham tunai janji bawa MP Klang lawat HTAR

KLANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba buat lawatan mengejut ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini malam tadi.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi, berkata Dr Adham hadir bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago ke HTAR sekitar jam 7.45 malam hingga jam 9.00 malam tadi.

"Sebelum ini, Menteri Kesihatan ada memaklumkan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bahawa beliau akan melawat HTAR bersama Ahli Parlimen Klang.

"Semalam, beliau mengotakan janjinya untuk membawa Ahli Parlimen Klang secara lawatan mengejut ke HTAR. Dalam lawatan itu, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk usaha melancarkan pengurusan pesakit COVID-19 di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zulkarnain berkata, pada pertemuan itu juga pihaknya dimaklumkan mengenai rancangan pembinaan hospital medan di HTAR.

"Hospital medan ini dijangka didirikan di tempat letak kenderaan bersebelahan jabatan kecemasan HTAR dan akan diuruskan oleh Mercy Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Charles pula menyatakan komitmen untuk membantu menguruskan penghantaran pesakit bergejala sekitar Klang ke HTAR.

"Kita difahamkan usaha Parlimen Klang ini bagi membantu menangani isu kekurangan ambulans di HTAR pada ketika ini. Jadi, usaha ini membolehkan rawatan segera diberikan kepada pesakit yang mereka bawa.

"HTAR akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak YB Charles kerana mereka perlu bersedia dari segi sumber manusia untuk mengendalikan kenderaan berkenaan. Mereka perlu bersiap-siaga 24 jam pada bila-bila masa serta memberikan maklumat lengkap lokasi dan sebagainya," katanya.

Dr Zulkarnain berkata, selesai lawatan di HTAR, Dr Adham bersama beliau mengadakan tinjauan ke Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan menempatkan pesakit COVID-19.

"Pesakit COVID-19 kategori tiga hingga kategori lima di HTAR akan dipindahkan di HPKK UKM sebaik mula beroperasi kelak," katanya.

Berita Harian X