Jumaat, 30 Julai 2021 | 10:28am
Gambar fail, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - Foto Asyraf Hamzah

Malaysia menuju krisis Perlembagaan, Perdana Menteri sementara perlu dilantik

KUALA LUMPUR: Teguran Istana Negara berhubung pembatalan Ordinan Darurat dan jawapan balas Pejabat Perdana Menteri yang mempertahankan ia telah dibuat mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan menyebabkan negara menuju ke arah krisis Perlembagaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata krisis Perlembagaan adalah sesuatu yang perlu dielakkan memandangkan negara sedang berdepan krisis tiga serangkai iaitu kesihatan, ekonomi dan politik.

Katanya, krisis Perlembagaan jika berlaku pastinya menjejaskan usaha pemulihan pandemik COVID-19 yang giat berjalan.

Sehubungan itu, beliau mengulangi desakan supaya Perdana Menteri sementara dilantik untuk mengemudi negara ini keluar daripada krisis yang berlaku.

"Berdasarkan penzahiran rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat tanpa izin Seri Paduka dan kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan kerajaan telah mengambil tindakan mengikut perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, adalah jelas bahawa negara kita menuju krisis Perlembagaan.

"Oleh itu, sudah tiba masa untuk pemimpin politik baik kerajaan atau pembangkang menyokong Perdana Menteri sementara untuk kita memberi tumpuan dan memastikan usaha vaksinasi tidak tergelincir dan terganggu kerana setakat ini hanya 19 peratus rakyat Malaysia telah menerima vaksin sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, Perdana Menteri sementara itu mesti menetapkan garis masa yang jelas bilakah Parlimen akan dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan.

Katanya, penetapan garis masa dengan nasihat pakar kesihatan awam itu akan membolehkan mandat memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku secara tuntas.

"Memandangkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) meletakkan sasaran semua penduduk dewasa akan melengkapkan vaksinasi mereka pada Oktober depan, maka Perdana Menteri sementara boleh membubarkan Parlimen pada hujung tahun dan PRU-15 diadakan pada awal 2022," katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan.

"Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

"Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

"Ia bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan Istana Negara.

Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Berita Harian X