Selasa, 27 Julai 2021 | 11:33pm
Suasana dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen bermula semalam. - Foto BERNAMA
Suasana dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen bermula semalam. - Foto BERNAMA

Jangan `semberono' ketepikan pandangan pakar kesihatan

KUALA LUMPUR: Pandangan pakar kesihatan yang berpandukan data kajian saintifik tidak seharusnya diketepikan dengan 'semberono' dengan membuat keputusan bersandarkan teori, andaian ataupun kenyataan yang bersifat populis.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata sesiapa pun sama ada di pihak kerajaan, blok pembangkang, pentadbir sistem kesihatan dan parti politik sekali pun tidak harus membuat keputusan tanpa merujuk dapatan ataupun bukti diperoleh menerusi kajian saintifik.

Beliau memberi contoh desakan sesetengah pihak termasuk beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mahu kerajaan menyegerakan penggunaan Ivermectin untuk merawat COVID-19, walaupun ujian klinikal di negara ini terhadap ubat itu masih belum selesai.

"Adakah Ivermectin berkesan untuk merawat COVID-19? Semestinya saya tidak tahu. Hanya data dan pakar perubatan dalam bidang yang tahu mentafsir data wajar membuat rumusan dan pendirian.

"Pakar perubatan ada pandangan berbeza tentang potensi Ivermectin setakat ini, tetapi majoriti besar setuju bahawa data belum mencukupi untuk suatu tahap keyakinan penggunaan tanpa kesan sampingan yang serius.

"Di Malaysia, ujian klinikal sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan berakhir bulan depan. Keputusan ujian tersebut akan dibentangkan bulan September nanti.

"Kelulusan di Malaysia akan melalui prosedur Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah KKM. NPRA tidak meluluskan produk tanpa perincian yang mendalam," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook hari ini.

Shahril berkata, desakan untuk menggunakan Ivermectin sesegera mungkin memperlihatkan keghairahan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang berisiko mengundang implikasi besar.

Katanya, soal ubat yang hendak diluluskan supaya ia boleh digunakan untuk merawat COVID-19 bukan boleh dilakukan dengan mempertikai dan berdebat mengenai perkara itu secara terbuka sebaliknya sebarang keputusan mahupun kelulusan perlu mengikut prosedur, data dan sains.

"Namun, dalam kalangan Ahli Parlimen PH hari ini, nampak mereka menolak rasional asas ini. Sebaliknya dalam keghairahan menyerang Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) dalam Dewan (Rakyat), mereka (Ahli Parlimen Kota Raja, Shah Alam, Sungai Buloh, Sungai Petani, Bayan Baru, Selayang dan Batu) berperilaku tidak bertanggungjawab sewaktu ditonton rakyat dengan mendesak agar Ivermectin digunakan segera dan supaya menteri 'bypass' (pintas) atau 'overrule' (menolak) prosedur dan NPRA.

"Ada implikasi besar apabila Ahli Parlimen yang bukan doktor, bukan pakar tetapi berpengaruh di mata rakyat bertindak sebegini. Sehingga sanggup mendesak agar menteri menggunakan kuasa eksekutif untuk mengetepikan prosedur yang dibina untuk memelihara keselamatan rakyat tak kira siapa yang jadi menteri.

"Diakui, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak terikut rentak ini tadi. Diharapkan beliau boleh main peranan mendidik rakan-rakannya dalam PH untuk sama bertanggungjawab. Jika seronok menghentam di Parlimen, tak semua yang nampak bulat itu mesti ditendang," katanya.

Berita Harian X