Isnin, 26 Julai 2021 | 4:37pm
- Foto Bernama
- Foto Bernama

Pendekatan bipartisan penting hadapi pandemik

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah percaya pendekatan bipartisan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) amat penting dalam usaha menghadapi pandemik itu secara holistik.

"Saya rasa pendekatan bipartisan ini penting pada masa seperti ini dan saya percaya ia akan berjaya dan saya yakin. Saya menjangkakan pembangkang akan ikut serta," katanya kepada media selepas melawat pusat media Parlimen, di sini hari ini.

Menteri Kewangan Merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan pada 23 Julai berkata wakil daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pembabitan pakar pelbagai industri dijemput untuk menganggotai majlis itu.

Pakar berkenaan adalah bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan pakar penyakit berjangkit Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Pakar lain termasuk bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH), Tan Sri Azman Mokhtar; Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang; Dr T Sivakumar dari Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah; aktivis hak asasi kanak-kanak, Hartini Zainuddin; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Penasihat Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

MPN dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - BERNAMA

TAG: Saifuddin Abdullah, MPN, PPN, KKMM

Berita Harian X