Ahad, 25 Julai 2021 | 12:51pm
 Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye

'Malaysia perlu ada indeks ukur kesihatan mental

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai indeks tersendiri dalam mengukur kesejahteraan psikologi rakyat, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan melalui pengenalan istilah dan rujukan termasuk parameter bagi pengembangan indeks kesejahteraan psikologi negara dalam usaha mewujudkan rakyat seimbang dari segi fizikal, emosi dan rohani.

Katanya, kejayaan sesebuah negara tidak hanya ditentukan aspek ekonomi, tetapi juga oleh pembangunan modal insan berteraskan profesionalisme, kebijaksanaan dan kesihatan mental yang baik,

"Sudah tiba masanya negara mempunyai alat mengukur kesejahteraan psikologi rakyat kerana kita harus memastikan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara mempunyai pemikiran positif, matang dan ada kemampuan menjadi produktif, kreatif serta inovatif," katanya dalam kenyataan, semalam.

Lam Thye berkata, masyarakat negara ini menghadapi masalah kemurungan yang serius dalam beberapa dekad kebelakangan ini, malah kesannya lebih buruk berbanding wabak COVID-19.

"Statistik dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia mengalami keadaan gangguan emosi disebut sebagai kemurungan klinikal.

"Ia biasanya tidak didiagnosis, malah tidak dianggap serius seperti penyakit membabitkan fizikal," katanya.

Katanya, kaedah utama merawat kemurungan yang digunakan kini adalah tidak lengkap, seperti penyakit kronik lain.

"Hampir semua orang menyedari tanda amaran diabetes yang biasa, tetapi tidak ramai tahu tanda awal kemurungan dan ini disebabkan masyarakat kurang dididik mengenai penyakit ini.

"Kebanyakan mereka yang dilanda kemurungan menerima persepsi negatif daripada kebanyakan masyarakat dan stigma ini menjadikan mereka yang dilanda kemurungan malu mendapatkan bantuan perubatan, sekali gus menyembunyikan gejala kemurungan supaya tidak dikategorikan sebagai sakit jiwa," katanya.

Lam Thye berkata, kerajaan harus meningkatkan segala sumber diperlukan untuk memberi pemeriksaan dan perkhidmatan kesihatan mental berkualiti diperlukan termasuk lebih banyak pusat komuniti penjagaan kesihatan serta kaunselor terlatih.

Berita Harian X