Sabtu, 24 Julai 2021 | 6:59pm
Mangsa ribut, Wan Rashid Wan Harun, menurunkan serpihan atap yang rosak akibat dipukul ribut semalam di rumahnya di Kampung Teluk Jeri Luar sambil dibantu rakannya, Kamaruddin Sulong,42 (depan) di Tanjung Sedili hari ini. - Foto BERNAMA
Mangsa ribut, Wan Rashid Wan Harun, menurunkan serpihan atap yang rosak akibat dipukul ribut semalam di rumahnya di Kampung Teluk Jeri Luar sambil dibantu rakannya, Kamaruddin Sulong,42 (depan) di Tanjung Sedili hari ini. - Foto BERNAMA

Sultan Johor bantu mangsa ribut di Tanjung Sedili

JOHOR BAHRU: Kesusahan mangsa ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan bantuan disalurkan kurang daripada 12 jam selepas kejadian berlaku.

Menurut satu hantaran yang dimuat naik ke Facebook rasmi baginda hari ini, kejadian pada 3 petang semalam itu mengakibatkan pelbagai kerosakan membabitkan 291 kediaman di kawasan Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Kampung Sentosa.

"Baginda berkenan mengurniakan 281 kotak keperluan makanan dan 281 kotak mi segera menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), yang disampaikan Mejar Cina Datuk David Wong hari ini," menurut hantaran itu.

Bantuan makanan turut diberikan kepada 11 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu sebanyak sembilan keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia Jaya dan dua keluarga di SK Sedili Besar.

Hujan lebat lebih dua jam bermula jam 3 petang, disusuli ribut dan angin kencang, turut mengakibatkan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan dan lebih 20 pokok tumbang di sekitar kawasan berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X