Sabtu, 24 Julai 2021 | 8:37am
- KPM digesa tambak baik, guna strategi berkesan untuk kurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa susulan pelaksanaan PdPR. - Hiasan. FOTO NSTP
- KPM digesa tambak baik, guna strategi berkesan untuk kurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa susulan pelaksanaan PdPR. - Hiasan. FOTO NSTP

Tambah baik PdPR atasi tekanan pelajar, guru

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa melakukan beberapa penambahbaikan atau menggunakan strategi lebih berkesan, bagi mengurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Hazli Zakaria berkata, walaupun ada yang mula selesa dengan PdPR, perhatian tetap perlu diberikan kepada mereka yang masih berusaha menyesuaikan diri dengan kaedah itu.

Katanya, pihak yang bermasalah perlu dibantu dengan cara sesuai dan antara tindakan boleh diambil adalah dengan mendapatkan maklumat tepat, berhubung pengalaman mereka melalui PdPR.

"Kita kena ambil tahu daripada akar umbi yang merangkumi pelajar, ibu bapa, guru dan pentadbir. Kesemuanya kena beri maklumat, kerana inilah data amat berguna dan kaya dari segi potensi untuk diguna pakai, bagi penambahbaikan kualiti pembelajaran di negara kita," katanya sambil menekankan pemberi maklumat mestilah dipastikan tidak terjejas.

Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga membuat ketetapan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September berdasarkan kadar vaksinasi guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dr Hazli berkata, KPM juga harus mengambil kira perbezaan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar, kerana setiap sekolah mempunyai situasi unik dan dengan hanya maklumat tepat, dapat melancarkan pelaksanaan PdPR.

Mengakui dasar digariskan KPM sudah cukup baik, namun pada pendapat beliau, pelaksanaannya harus lebih spesifik dan tepat kepada sasaran bagi mencapai objektif ditetapkan.

"Saya pasti mereka (kerajaan) sedaya upaya memberikan perubahan terbaik untuk semua, tetapi saya rasa ia (bagi mencapai objektif) memerlukan platform lebih telus supaya semua pihak boleh berkongsi.

"Kita melihat ini sebagai satu cara untuk kita bermuafakat daripada kita mencari kesalahan, dan menyebabkan tidak berlaku proses perubahan yang kita harapkan," katanya.

Dr Hazli turut menasihati pihak terbabit dengan pelaksanaan PdPR, supaya tidak mengharapkan kerajaan saja untuk menyelesaikan masalah mereka, kerana usaha menambah baik pengajaran dan pembelajaran memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap KPM tidak sensitif atau mudah terasa dengan keluhan pihak yang kurang senang dengan pelaksanaan PdPR, sebaliknya menerima kenyataan negara berada dalam keadaan belum pernah dialami sebelum ini, justeru sesuatu sistem baharu memerlukan banyak kaedah, bantuan serta sokongan.

Katanya, semua pihak termasuk KPM, perlu menggunakan peluang menerusi pelaksanaan PdPR untuk mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi, bagi menghasilkan pelajar bermutu tinggi, tahu menggunakan ilmu dan bukan sekadar mendapat keputusan baik dalam peperiksaan.

"Sayangnya, walaupun dalam keadaan begini (pandemik COVID-19), kita masih taksub dengan keputusan berapa A yang perlu dihadiahkan kepada sekolah, guru dan ibu bapa. Kita kena lihat keadaan ini dan ambil kesempatan, cuba ubah apa yang kita cuba capai pada masa ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X