Sabtu, 24 Julai 2021 | 7:30am
JAS bimbang pembakaran terbuka dan jerebu ketika pandemik COVID-19, boleh meningkatkan risiko bahaya pencemaran udara kepada kesihatan awam. - Hiasan. FOTO NSTP
JAS bimbang pembakaran terbuka dan jerebu ketika pandemik COVID-19, boleh meningkatkan risiko bahaya pencemaran udara kepada kesihatan awam. - Hiasan. FOTO NSTP

JAS tingkat penguatkuasaan cegah pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan aktiviti mencegah pembakaran terbuka dan penguatkuasaan ke atas kilang serta kenderaan bermotor bagi menangani pencemaran udara ketika cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar berkata, dalam keadaan cuaca kini, potensi berlakunya pembakaran terbuka di kawasan mudah dan sering terbakar adalah sangat tinggi seperti di kawasan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

"Berdasarkan rekod aduan dan rondaan JAS, sebanyak 418 kes pembakaran terbuka dikesan bulan ini (hingga semalam) dan bilangan ini dijangka terus meningkat jika keadaan cuaca panas serta kering berterusan sehingga pertengahan September ini.

"Peningkatan kes pembakaran terbuka ini disebabkan aktiviti pertanian sara diri penduduk tempatan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Norlin berkata, pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka boleh disabitkan hukuman mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dengan kompaun RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Beliau berkata, sejak Januari hingga semalam, sebanyak 358 kompaun, 72 notis arahan dan sembilan kertas siasatan dibuka bagi kesalahan pembakaran terbuka.

Pada masa sama, katanya selain aktiviti pembakaran terbuka, pelepasan daripada aktiviti perindustrian, aktiviti kerja tanah dan kenderaan bermotor turut menyumbang kemerosotan kualiti udara di beberapa negeri ketika ini.

Katanya, sekiranya pembakaran terbuka dan jerebu berlaku ketika pandemik COVID-19, kedua-duanya boleh meningkatkan risiko bahaya pencemaran udara kepada kesihatan awam.

"Sebanyak 16 titik panas dikesan iaitu sembilan di Sabah, tiga di Pahang, dua di Selangor dan masing-masing satu di Perak serta Johor, semalam," katanya.

Beliau berkata, terdapat peningkatan bilangan titik panas di dalam negara dalam tempoh tiga bulan terakhir dengan 242 titik panas dikesan hingga semalam berbanding 166 pada Jun lalu dan 113 pada Mei lalu.

Orang ramai diminta melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. - BERNAMA

Berita Harian X