Selasa, 20 Julai 2021 | 7:22pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

PKPD di 9 lokaliti di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan lokaliti di Sarawak dan Sabah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Khamis ini bagi mengawal penularan COVID-19 di kawasan itu.

Selain itu, pelaksanaan PKPD di lima kampung di Sabah akan dilanjutkan selama 14 hari, manakala satu PKPD di dua kampung Orang Asli di Pahang, akan ditamatkan esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lapan lokaliti yang akan dilaksanakan PKPD adalah Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang di Kuching, Sarawak.

Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di empat lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah iaitu Kilang Papan Lusera Telipok, Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progressif Perwira, Kampung Sinulihan dan Kondominium University Utama Fasa 2.

Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Guruh-Guruh di Sipitang dan Kampung Air serta Kampung Bokara di Sandakan, Sabah.

"Semua sembilan PKPD itu dijadualkan berakhir pada 8 Ogos depan, manakala prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD berkenaan adalah sama seperti diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, lima PKPD di Sabah yang dilanjutkan bermula esok ialah Kampung Sri Menanti di Tawau, selain empat perkampungan Kepulauan Gaya di Kota Kinabalu.

"Empat perkampungan itu ialah Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya.

"PKPD ini dilanjutkan selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi di lokaliti terbabit dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di dua kampung Orang Asli di Rompin, Pahang yang dilaksanakan sejak 8 Julai lalu iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang, akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Berita Harian X