Ahad, 18 Julai 2021 | 7:31pm

Vaksinasi dijangka selesai sebelum musim tengkujuh

KUALA TERENGGANU: Proses suntikan vaksin di beberapa negeri terutama di Pantai Timur tidak akan terganggu dengan musim tengkujuh berikutan kerajaan sudah membuat persediaan untuk memastikan program vaksinasi selesai sebelum hujung Oktober ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata kerajaan akan memastikan proses suntikan vaksin di negeri berkenaan selesai lebih awal bagi mengelak masalah sekiranya berlaku bencana banjir.

"Kita bimbang dengan kemungkinan (berlaku) perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya selepas menyampaikan bakul makanan PEMULIH kepada 100 penduduk di Kondo Rakyat Kuala Ibai, semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Mengulas mengenai cuti musim perayaan, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, berkata jumlah suntikan vaksin dijangka turun sedikit ketika sambutan Aidiladha.

Bagi memastikan program suntikan vaksin tidak terganggu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) diminta memastikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk terus beroperasi.

"PPV Mega akan terus beroperasi untuk melakukan suntikan sepanjang musim cuti musim perayaan Aidiladha. Memang tidak dapat dinafikan akan berlaku penurunan aktiviti suntikan vaksin, tetapi suntikan harian mencatatkan lebih 460,000 semalam walaupun hari Jumaat biasanya mencatatkan penurunan," katanya.

Mengenai bekalan vaksin, Ahmad Amzad berkata, negara tidak berdepan masalah kekurangan bekalan vaksin kerana sebanyak 12 juta dos akan digunakan sepanjang bulan ini dan bulan depan.

"Kita juga akan menerima bekalan vaksin jenis Pfizer sebanyak 45.7 juta dos hingga program vaksin selesai dilakukan," katanya.

Ahmad Amzad (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Ahmad Amzad (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X