Ahad, 18 Julai 2021 | 12:32pm
Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

RCI Tabung Haji tak babitkan siasatan ketika PN

KOTA BHARU: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak membabitkan siasatan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ia kerana kerajaan PN masih baharu dan tidak mahu RCI berkenaan membantutkan pelan pemulihan dan usaha penambah baikan terhadap TH.

"Kita (PN) belum melaksanakan berdasarkan pelan yang kita sediakan dan kita tidak mahu dengan adanya RCI, akan membantutkan usaha untuk menambah baik TH serta meningkatkan keyakinan terhadap pendeposit.

"Malah, setakat ini tidak timbul sebarang isu yang mencurigakan masyarakat khususnya kira-kira 11 juta pendeposit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bakul makanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman kerajaan menubuhkan RCI TH mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan RCI itu Rabu lalu, antara lain menyebut terma RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, masih terlalu awal untuk dibincangkan terma RCI dan perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa yang terbabit.

Katanya, RCI berkenaan dijamin akan dilaksanakan secara telus dan jujur.

"Dengan persetujuan Perdana Menteri, RCI TH akan dilaksanakan dalam tempoh 2014 hingga 2020 iaitu termasuk hampir dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

"Ia akan membabitkan semua urusan TH termasuk berkaitan pemindahan aset," katanya.

Berita Harian X