Jumaat, 16 Julai 2021 | 7:41pm
Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Lantik Ahli Dewan Negara anggotai RCI Tabung Haji - Razali

KUALA LUMPUR: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan Ahli Dewan Negara turut dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Datuk Razali Idris, berkata, Ahli Dewan Negara adalah penggubal undang-undang di dewan tertinggi perundangan negara, yang sering membangkitkan isu demi kesejahteraan rakyat dalam banyak perkara, terutama kepentingan bersama dan masa depan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, cadangan penubuhan RCI itu turut diharap akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global.

"Melalui RCI kelak, TH dijangka memulihkan semula imej dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji serta perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam.

"Kaukus ini yakin siasatan RCI nanti akan membolehkan TH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, perkhidmatan dan operasi haji serta pelaburan dana, memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit.

"Pendeposit mempunyai hak mutlak melalui RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir urus, integriti serta operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Siasatan akan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, dari 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri dipetik berkata, antara terma RCI dipersetujui Jemaah Menteri ialah skop RCI yang akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH, namun tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan ketika ini.

Berita Harian X