Jumaat, 16 Julai 2021 | 2:40pm

RCI Tabung Haji tiada beri kesan agihan keuntungan

PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak akan memberi kesan terhadap agihan keuntungan kepada pendepositnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ia juga akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Penubuhan RCI itu, katanya, adalah untuk merungkai persoalan dan permasalahan yang sering ditimbulkan dan dibangkitkan mengenai Tabung Haji seperti aspek pengauditan dan dasar.

Beliau berkata, penubuhan RCI dipersetujui hasil daripada kehendak sebahagian besar Ahli Parlimen, baik daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang, yang mahu isu Tabung Haji dilihat secara terperinci serta adil.

"Kita sejujurnya akan memastikan RCI bersifat bebas, telus dan akan pilih mereka yang berwibawa dan berintegriti untuk menganggotainya," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan serahan sumbangan 41 tablet dari TH Travel and Services Sdn Bhd kepada Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, di sini hari ini.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan menubuhkan RCI Tabung Haji mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Ismail Sabri berkata, antara terma RCI yang sudah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI yang akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Mengenai sumbangan tablet kepada pelajar SAM Bandar Baru Salak Tinggi itu, Zulkifli berkata, sumbangan TH Travel and Services itu dapat meringankan beban pelajar asnaf yang tiada alat itu untuk meneruskan pembelajaran dalam norma baru. – BERNAMA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali menyerahkan tablet kepada Pengetua Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi pada majlis penyerahan sumbangan 41 unit tablet Lenovo Tab M7 di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat, TH Travel and Services Sdn Bhd kepada pelajar asnaf Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi Sepang di Lobi Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Putrajaya. - Foto AZIAH AZMEE

Berita Harian X