Khamis, 15 Julai 2021 | 5:11pm
Ibu pejabat Tabung Haji
Ibu pejabat Tabung Haji

'RCI jawapan tuntas semua persoalan selubungi Tabung Haji' - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang disifatkan sebagai tepat pada masanya.

Jamil Khir berkata, RCI itu sangat penting untuk mendapatkan jawapan tuntas kepada semua persoalan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak terhadap tadbir urus TH, khususnya sewaktu syarikat itu berada di bawah tanggungjawabnya.

Beliau juga menyatakan komitmen memberikan sepenuh kerjasama bagi membantu siasatan dan berharap ia dilaksanakan secara menyeluruh terhadap semua aspek yang berlaku dari 2014 sehingga 2020.

"Saya amat bersetuju dan akan memberi segala kerjasama kerana RCI ini boleh menjawab semua persoalan yang ditimbulkan terutama oleh parti parti politik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"RCI ini juga untuk mengajar kita semua yang sepatutnya bangga dengan TH kerana sembilan juta pendepositnya terdiri daripada orang Islam sahaja.

"Ia sebuah syarikat bertaraf antarabangsa dan ada pelbagai aset di luar negara, sayanglah kalau rosak semua apabila aset-aset ini dijual," katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya berkenaan pelbagai tuduhan parti politik terhadapnya berkaitan tadbir urus TH sebelum PRU-14, Jamil Khir menyatakan beliau tidak berminat untuk membuat ulasan lanjut pada masa ini.

"Kita tunggulah hasil siasatan oleh RCI, itulah cara terbaik untuk mendapatkan jawapan sebenar," katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju menubuhkan RCI menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

"Antara terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

"Kedua, menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya," katanya.

Berita Harian X