Khamis, 15 Julai 2021 | 1:24pm
Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Rompin mengambil sampel air sungai Pukin untuk dianalisa selepas kolam rawatan sisa sawit di sebuah kilang berdekatan runtuh menyebabkan sisa mengalir ke alur sungai.
Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Rompin mengambil sampel air sungai Pukin untuk dianalisa selepas kolam rawatan sisa sawit di sebuah kilang berdekatan runtuh menyebabkan sisa mengalir ke alur sungai.

Kilang sawit cemari Sungai Pukin Rompin diarah tutup serta merta

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengarahkan operasi kilang kelapa sawit di Ulu Keratong, Rompin, Pahang dihentikan serta merta selepas didapati menyebabkan pencemaran sungai.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata tindakan selaras dengan notis arahan mengikut Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Rompin.

"Kilang tersebut diarah memberhentikan operasi mengilang buah kelapa sawit serta merta sehingga notis arahan ditarik balik oleh JAS.

"Kegagalan mematuhi arahan terbabit boleh menyebabkan lesen syarikat berkenaan digantung, dibatal atau tidak diperbaharui mengikut Peraturan 15(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pemeriksaan pada Jumaat lalu, JAS dan Pengurusan Air Pahang Berhad dilaporkan mendapati sebuah kilang kelapa sawit menjadi punca pencemaran air terhadap Sungai Pukin.

Kejadian itu dipercayai berpunca dari tebing salah satu kolam rawatan sisa sawit yang runtuh sehingga menyebabkan sisa tersebut mengalir ke alur sungai.

Ahmad Parveez berkata, MPOB menggesa semua kilang kelapa sawit supaya sentiasa mematuhi peraturan MPOB dan JAS dalam penjagaan alam sekitar terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, MPOB sentiasa bekerjasama dengan JAS bagi membendung pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai akibat aktiviti pengilangan sawit.

"Ini termasuk memantau dan melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas kilang kelapa sawit bagi memastikan pematuhan sistem pengolahan efluen dan had pelepasan yang ditetapkan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau aduan boleh e-mel di general@mpob.gov.my atau menghubungi talian 03 8769 4400.

Berita Harian X