Rabu, 14 Julai 2021 | 8:19pm
Tabung Haji memberi kerjasama penuh bagi siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja. Gambar hiasan NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Tabung Haji memberi kerjasama penuh bagi siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja. Gambar hiasan NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Tabung Haji beri kerjasama penuh

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengauditan perunding dari tahun 2014 hingga 2020.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin, berkata TH menyambut baik penubuhan suruhanjaya itu berdasarkan lunas perundangan.

"TH berpendapat hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Katanya, penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Amrin berkata, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin, khususnya dalam kalangan pendeposit.

Beliau berkata, TH sentiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya, demi kepentingan pendeposit.

Berita Harian X