Rabu, 14 Julai 2021 | 5:35pm
Menara TH di Jalan Tun Razak
Menara TH di Jalan Tun Razak

RCI ditubuh siasat Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob , berkata siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

"Antara terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

"Kedua, menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, antara terma lain yang terkandung dalam RCI adalah mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung jika didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan sebarang siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus TH.

"Selain itu, mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan.

"Ia terdiri daripada pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

"Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

"Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam," katanya.

Berita Harian X