Selasa, 13 Julai 2021 | 2:15pm
JAS memantau kerja pembaikan benteng kolam pengolahan efluen yang pecah Selasa lalu sehingga menyebabkan pencemaran sungai di Ulu Keratong, Rompin, Pahang. - Foto ihsan FB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
JAS memantau kerja pembaikan benteng kolam pengolahan efluen yang pecah Selasa lalu sehingga menyebabkan pencemaran sungai di Ulu Keratong, Rompin, Pahang. - Foto ihsan FB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Operasi LRA Keratong dijangka pulih Ahad

KUANTAN: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Keratong di Rompin, yang dihenti tugas akibat pencemaran sehingga menjejaskan kira-kira 50,000 pengguna, dijangka pulih secara berperingkat pada Ahad ini, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga sudah membuat pemantauan terhadap air sungai terbabit secara berterusan bagi memastikan LRA itu dapat beroperasi semula, selain tiga sampel diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah pada Ahad lalu.

Sampel air dari muka sauk Kampung Rekoh, Kampung Lubuk Batu dan Kampung Aur itu telah dihantar ke makmal LRA Gadak, Rompin bagi tindakan sewajarnya.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menggerakkan bantuan lori tangki daripada operator bekalan air negeri dan pelbagai agensi untuk membantu membekalkan air bersih, selain 10 lori yang disediakan PAIP dengan jumlah keseluruhan lori sebanyak 41 buah.

"Selain itu, 300 unit tangki statik juga diletakkan di lokasi strategik di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata antara pihak yang terbabit membantu menyediakan lori tangki ialah Air Selangor, Syarikat Air Negeri Sembilan, Syarikat Air Darul Aman, Lembaga Air Perak, bomba, tentera dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pada 9 Julai lalu, Pegawai Daerah Rompin Ahmad Nasim Mohd Sidek mengesahkan berlaku pencemaran di Sungai Pukin, Keratong, dipercayai berpunca selepas satu tebing kolam rawatan sisa sawit sebuah kilang runtuh menyebabkan sisa mengalir ke alur sungai.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan kepada kilang itu untuk mereka melakukan kerja penyelenggaraan semua kolam rawatan sisa berkenaan.

Kerja pembaikan dan penyelenggaraan itu, menurut Tuan Ibrahim dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang yang dilaporkan turut menahan kelengkapan operasi kilang terlibat supaya aktiviti kilang tidak berjalan.

"Pihak kilang perlu mendapatkan pengesahan kelulusan JAS Pahang sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya.

Tuan Ibrahim berkata JAS Pahang kini sedang menyediakan kertas siasatan di bawah Seksyen 16(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum dua tahun kedua-duanya, bagi setiap syarat lesen yang tidak dipatuhi. – BERNAMA

Berita Harian X