Ahad, 11 Julai 2021 | 9:00pm
Insentif khas diumum Perdana Menteri melalui PEMULIH memberi kelegaan kepada pengusaha TASKA dan TADIKA untuk meneruskan operasi ketika berdepan dengan penularan pandemik. - NSTP/Ghazali Kori
Insentif khas diumum Perdana Menteri melalui PEMULIH memberi kelegaan kepada pengusaha TASKA dan TADIKA untuk meneruskan operasi ketika berdepan dengan penularan pandemik. - NSTP/Ghazali Kori

Insentif PEMULIH ringan beban TASKA, TADIKA

KUALA LUMPUR: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini turut merangkumi bantuan bagi sektor taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) untuk kelangsungan operasinya.

Kerajaan memutuskan memberi bantuan kewangan kepada pengusaha TASKA dan TADIKA selepas menerima banyak permintaan supaya insentif yang diperkenalkan tahun lalu disambung semula.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Anisa Ahmad, berkata bantuan diumumkan melalui PEMULIH dan beberapa pakej sebelum ini amat meringankan beban pengusaha terutama yang berada dalam keadaan kritikal ketika ini.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Anisa Ahmad.
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Anisa Ahmad.

Berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya, hampir 50 peratus TASKA di seluruh negara ditutup kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

"Justeru, bantuan kerajaan ini membolehkan pengusaha menarik nafas lega selepas berdepan kesukaran susulan pandemik COVID-19 ini.

"Selain membeli keperluan sanitasi dan peralatan nyahkuman, bantuan ini diharap dapat digunakan pengusaha untuk membayar sewa premis atau bayaran kepada guru dan kakitangan TASKA," katanya.

Menerusi PEMULIH yang diumumkan Muhyiddin pada 28 Jun lalu, seramai 4,400 pengusaha TASKA seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bakal menerima Bantuan Khas TASKA berjumlah RM3,000.

Bantuan itu turut diberi kepada 8,000 TADIKA swasta seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Anisa berkata, ramai pengusaha TASKA mengeluh ketika ini kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pengusaha TASKA yang dapat beroperasi hanya boleh menerima anak petugas barisan hadapan dan kakitangan perkhidmatan perlu, sekali gus menjejaskan pendapatan secara menyeluruh," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mencontohi beberapa negara jiran yang menawarkan subsidi kepada golongan yang layak untuk menghantar anak mereka ke TASKA.

Dengan subsidi seperti itu, katanya, lebih ramai ibu bapa boleh menghantar anak mereka ke TASKA dan membantu pembelajaran awal kanak-kanak.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan TADIKA Malaysia, Elvis Gan Kah Keng, menghargai inisiatif kerajaan itu yang membantu pengusaha TADIKA menangani kemelut dihadapi.

Katanya, kira-kira 8,000 TADIKA swasta di seluruh negara berdaftar dengan persatuan itu, namun ada yang dilapor ditutup sementara, manakala sesetengahnya menghentikan operasi sepenuhnya.

"Bantuan khas ini dapat membantu pengurusan TADIKA yang benar-benar memerlukan, termasuk untuk membayar tunggakan sewa premis dan gaji kakitangan," katanya.

Beliau berkata, bukan semua TADIKA layak mendapat bantuan itu kerana ia bergantung kepada kategori iaitu TADIKA kecil, besar atau antarabangsa.

Bantuan itu, kata Kah Keng, mungkin mencukupi menampung keperluan TADIKA kategori kecil.

"Kami harap kerajaan dapat menyediakan bantuan yang tidak semestinya berbentuk kewangan, mungkin latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana TADIKA turut mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya.

Bagi memastikan tiada lagi TADIKA ditutup, beliau juga menyarankan kerajaan menawarkan pinjaman mikro kepada pengusaha memerlukan.

Katanya, pinjaman dengan faedah lebih rendah dan melonggarkan sedikit syarat, amat diperlukan oleh pengusaha TADIKA bagi meneruskan semula operasi untuk jangka panjang.

Berita Harian X