Jumaat, 9 Julai 2021 | 9:16pm
Fazilah Hani bersama Mohd Hafezh (skrin, kanan) dan Adzmi pada program Bicara BH yang diadakan secara maya, hari ini. - NSTP/FATHIL ASRI
Fazilah Hani bersama Mohd Hafezh (skrin, kanan) dan Adzmi pada program Bicara BH yang diadakan secara maya, hari ini. - NSTP/FATHIL ASRI

Pensijilan MSPO jawab tohmahan Barat

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah penyelesaian tuntas dalam menjawab tohmahan negara Barat berhubung isu alam sekitar dan buruh paksa yang dikaitkan dengan industri sawit Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Mohammad Hafezh Abdul Rahman, berkata kriteria pensijilan MSPO menggariskan piawaian ketat dalam memastikan pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit tidak terbabit amalan buruh paksa ataupun menjejaskan alam sekitar.

Katanya, MSPO antara lain memerlukan pihak disijilkan itu mematuhi Akta Pekerja 1955 yang memperuntukkan bahawa pekerja tidak boleh dipaksa melakukan kerja tanpa kerelaan oleh majikan, sekali gus mengatasi isu buruh paksa yang ditimbulkan negara Barat.

Selain itu, beliau berkata, pensijilan MSPO mengawal penerimanya daripada melakukan penebangan hutan secara berleluasa bagi tujuan memperluas kawasan ladang dan tanaman sawit.

Mohammad Hafezh memaklumkan, ia selaras komitmen Malaysia untuk mengekalkan 50 peratus kawasan hutan, yang ditandatangani pada Persidangan Iklim Paris (COP21), enam tahun lalu.

"Secara keseluruhan, 88 peratus daripada industri sawit Malaysia sudah mendapat pensijilan MSPO.

"Ia bersamaan 5,262,214 hektar tanah ladang sawit telah disijilkan pada peringkat pekebun kecil persendirian, pekebun kecil tersusun dan syarikat besar.

"Bagi pekebun kecil persendirian, sejumlah 450,843 hektar tanah sudah disijilkan bawah MSPO; pekebun kecil tersusun (730,600 hektar - 100 peratus); syarikat besar (4,080,777 hektar)," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH bertajuk 'MSPO: Kaedah Tangani Dengki Eropah dan Amerika Syarikat (AS) Terhadap Minyak Sawit Malaysia', secara maya, hari ini.

Program dengan Datin Seri Fazilah Hani Harun sebagai moderator itu turut menampilkan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan, sebagai ahli panel.

Mengulas lanjut, Mohammad Hafezh berkata, syarikat tempatan turut memberi sokongan baik kepada MSPO.

"Sekarang, mereka cuma perlu mendapatkan sokongan daripada pembeli sawit pada peringkat antarabangsa untuk menerima MSPO.

"Hasil segala usaha ini, khususnya pensijilan MSPO oleh pekebun kecil, kita berharap akan meraih penerimaan positif pada peringkat antarabangsa, sekali gus mendapat harga baik bagi memastikan minyak sawit yang kita hasilkan lebih mampan," katanya.

Berhubung isu dakwaan penggunaan buruh paksa oleh FGV Holdings Berhad (FGV) pada hujung tahun lalu pula, Mohammad Hafezh berkata, ia sedang diselesaikan syarikat itu dengan melantik juruaudit bebas.

Beliau menegaskan, isu buruh paksa bukan terhad kepada industri sawit semata-semata, sebaliknya turut membabitkan komoditi lain dan sektor pembuatan, sekali gus memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mengatasinya.

"Terkini, kami mendapat jemputan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk berkolaborasi berhubung bagaimana MSPO membantu mengatasi isu buruh paksa dan kanak-kanak, dan kami berharap ia akan membawa hasil yang positif," katanya.

Mengenai kadar guna tanah untuk tanaman sawit di Malaysia, Mohammad Hafezh memaklumkan, sawit hanya mengambil jumlah tanah paling sedikit berbanding komoditi lain.

Tahun lalu, katanya, kadar tanah pertanian kelapa sawit Malaysia jatuh 0.6 peratus berbanding 2019, dan dijangka tiada perubahan ketara dalam masa terdekat kerana MSPO tidak menggalakkan penebangan hutan secara berleluasa.

"Hakikatnya, laporan Penilaian Sumber Hutan Global 2020 menunjukkan 54 peratus hutan dunia terletak di lima negara, iaitu Russia, Brazil, Kanada, AS dan China.

"Negara berkenaan tidak menanam sawit, lebih kepada soya dan bunga matahari. Namun, hutan di negara itu yang banyak hilang, seperti Amazon di Brazil di mana penanaman soya berleluasa.

"Namun, kita pula yang dihujani tohmahan merosakkan hutan. Ini menguatkan pandangan bahawa kita memang menjadi sasaran serangan pihak antarabangsa (kerana penguasaan pasaran minyak sawit global)," katanya.

Berita Harian X