Jumaat, 9 Julai 2021 | 4:25pm
Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan memastikan perniagaan memanfaatkan peluang baharu.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan memastikan perniagaan memanfaatkan peluang baharu.

MDEC laksana kempen e-dagang, manfaatkan 300,000 peniaga tempatan

AGENSI utama peneraju transformasi digital di negara ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memulakan Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Kempen Shop Malaysia Online (SMO).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri, berkata sebagai agensi utama MDEC akan melaksanakan kedua-dua inisiatif itu yang telah bermula pada 1 Julai lalu hingga 31 Disember 2021 berdasarkan konsep pembiayaan awam-swasta. 

Image

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2021, kempen ini akan menyuntik pakej insentif bernilai RM200 juta untuk menyokong perniagaan tempatan pelbagai sektor yang menyertai platform e-dagang dan e-bayar.

"Langkah ini diharap dapat meningkatkan kemampuan penjualan perniagaan tempatan dalam semua platform yang mengambil bahagian seterusnya membantu meningkatkan pendapatan. Kuncinya adalah menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan," katanya.

Malah, manfaat inisiatif ini bakal dinikmati oleh 300,000 perniagaan tempatan termasuk turut menyasarkan 50,000 perniagaan baharu yang kali pertama menyertai e-dagang.

Kerajaan juga telah menyasarkan jumlah nilai dagangan kasar melebihi RM1 bilion dan mencapai 10 juta transaksi. Pada masa sama,  seramai 30,000 usahawan wanita bakal mendapat manfaat daripada inisiatif ini untuk mendorong perniagaan mereka lebih berdaya maju.

Bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian dari perniagaan dan produk tempatan di bawah kempen SMO, kerajaan memberikan insentif seperti potongan harga, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat.

Image

Sebanyak 32 rakan e-dagang bakal mengambil bahagian tahun ini antaranya à la carte (revenue monster), Beep by Storehub, Boost, Delivereat, Dhause, Dropee, eRomman, EZAssist, Fave, Food Market Hub, Foodpanda, Grab, iBeli, Instant eStore , JDMas, Jocom, Kravve, Kumoten, Lazada, Lokein, Mpay, PGMall, PrestoMall, Maybank, SenangPay, Shopee, Shopline, SiteGiant, Subplace, Touch 'N Go eWallet, Wonderfly dan Zalora.

Berikutan pencapaian luar biasa pada tahun 2020, inisiatif ini telah membuktikan ekonomi digital adalah pemacu utama pertumbuhan negara sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Selain menyasarkan pertumbuhan e-dagang Malaysia serta muncul sebagai pasaran terbesar di ASEAN menjelang 2025, sekali gus mencapai cita cita Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

"Usaha ini bertujuan memudahkan dan membantu perniagaan tempatan untuk bergerak ke arah pendigitalan.

"Pada masa sama, MDEC mahu perniagaan tempatan terus berkembang dan dapat mengharungi tempoh yang mencabar ini," kata Surina.

Kempen Belanjawan 2021 Go-eCommerce Onboarding dan SMO bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan memastikan perniagaan memanfaatkan peluang baharu, mempercepatkan perniagaan tempatan dan berdaya tahan.

Pada masa sama, matlamatnya adalah untuk meningkatkan keyakinan pengguna supaya membeli produk keluaran tempatan seterusnya bagi memastikan perniagaan Malaysia tetap berdaya maju.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif E-dagang Belanjawan 2021 Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online, sila layari http://www.mdec.my/belanjawan2021.

Berita Harian X