Khamis, 8 Julai 2021 | 11:54am
Kes rentas negeri import B memberi masalah kepada situasi COVID-19 di Terengganu apabila sembilan kes positif import B dikesan, semalam. - Foto NSTP
Kes rentas negeri import B memberi masalah kepada situasi COVID-19 di Terengganu apabila sembilan kes positif import B dikesan, semalam. - Foto NSTP

Terengganu boleh balik ke fasa pertama jika alpa SOP

KUALA TERENGGANU: Kegagalan melakukan ujian saringan selepas berulang alik ke negeri berisiko atas sebab kerja boleh menyebabkan negeri berpatah balik ke fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus, berkata tiada masalah untuk rentas negeri tetapi perlu bertanggungjawab menjaga diri sendiri dan orang lain.

"Jika sudah tahu berisiko pergi buat penilaian dan saringan di Klinik Kesihatan berdekatan, jangan sebab kelalaian kita, orang lain yang terkena.

"Kita sudah berkali-kali memberi nasihat pesanan, rentas negeri tiada masalah, tetapi mereka yang melakukan rentas negeri termasuk atas urusan kerja perlu bertanggungjawab menjaga diri sendiri dan orang lain," katanya melalui Facebooknya, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kes rentas negeri import B memberi masalah kepada situasi COVID-19 di negeri ini, apabila sembilan kes positif import B dikesan, semalam.

Katanya, sepanjang Mei dan Jun lalu, sebanyak 463 kes import daripada beberapa negeri berjaya dikesan.

"Majoriti kes di daerah Kemaman apabila mencatatkan sebanyak 307 kes, manakala 36 kes di daerah Kuala Terengganu.

"Kes itu mencetuskan lima kluster besar, termasuk 226 kes Kluster Gong Badak, Kluster Langgar Hilir (45 kes), Kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), Kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) serta Kluster Kubang Jela (131 kes) dan masih aktif," katanya.

Menurut Dr Nor Azimi, kes terbaharu dilaporkan adalah Kluster Gong Pasir, Dungun, apabila 40 kes dikesan juga berpunca daripada rentas negeri.

"Kes seolah situasi begini tidak akan habis...baru nak reda, naik balik. Sebelum ini Rt (kadar kebolehjangkitan) di negeri ini adalah 0.62 dan terendah, tetapi kealpaan serta kelalaian sebahagian masyarakat menyebabkan Rt meningkat kepada 0.88.

"Sepatutnya orang bergejala hadir membuat saringan tetapi apabila disiasat mendapati ada kontak dengan kes rentas negeri. Paling malang, ketika dikesan kes sudah menular dalam komuniti," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, sebahagian kes import B akan menjalani saringan untuk masuk kerja dan kaedah itu membolehkan pengesanan awal bagi mengelakkan penularan pendemik COVID-19 dapat dicegah.

"Jangan disebabkan kelalaian kita, negeri akan diumumkan berpatah balik ke fasa pertama PPN sedangkan kerajaan dan JKNT sedang berusaha untuk bergerak ke fasa tiga dan bukannya berundur ke belakang," katanya.

Berita Harian X