Sabtu, 3 Julai 2021 | 2:04pm
Anggota tentera menjalani latihan kemahiran tempur di Kompleks ZAMZOV, Lundu. - Foto ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div
Anggota tentera menjalani latihan kemahiran tempur di Kompleks ZAMZOV, Lundu. - Foto ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div

ZAMZOV tingkatkan keupayaan tempur tentera darat

LUNDU: Sebuah Kompleks Latihan 'Operations in Build Up Areas' (OBUA) yang dibina sebagai medan latihan untuk mempertingkatkan kemahiran pertempuran anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di kawasan bandar siap dibina di Lapang Sasar Sampadi, di sini.

Kompleks latihan yang diberi nama ZAMZOV (Zamrose Mohd Zain OBUA Village) itu, adalah cetusan idea Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, ketika beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat Ke-3.

Pembinaan kompleks itu dilaksanakan oleh pasukan Skuadron Ketiga Rejimen Askar Jurutera Diraja (3 Skn RAJD), yang mengambil masa selama 150 hari untuk disiapkan sepenuhnya pada 30 Oktober tahun lalu.

Zamrose yang dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak berkesempatan menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks ZAMZOV yang diadakan secara ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain merasmikan Kompleks ZAMZOV di Lapang Sasar Sampadi di Lundu, hari ini. - Foto ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div
Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain merasmikan Kompleks ZAMZOV di Lapang Sasar Sampadi di Lundu, hari ini. - Foto ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div

Kompleks ZAMZOV adalah infrastruktur latihan pertama bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran anggota dalam operasi di kawasan bandar yang di bina di Sarawak.

Pembinaan infrastruktur latihan itu sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu, "Kelangsungan Misi dan Kesiagaan."

Tonggak itu menitikberatkan kepada usaha mempertingkatkan keupayaan dan kesiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam melaksanakan sebarang misi dan operasi.

Berita Harian X