Jumaat, 2 Julai 2021 | 1:23pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Henti pandang rendah individu hadapi masalah mental

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu berhenti memandang rendah terhadap individu yang menghidap masalah mental dan berusaha memahami keadaan mereka.

Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen, berkata stigma masyarakat yang memandang rendah golongan itu menyebabkan mereka berasa malu, lemah semangat dan takut untuk meluahkan isi hati bagi mendapatkan bantuan profesional.

Katanya, pelbagai kempen dan program kesihatan mental dilaksanakan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit mental, namun ia tetap memerlukan kerjasama daripada masyarakat.

"Masalah mental ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan dan NGO saja. Masyarakat sekeliling juga perlu bekerjasama membantu menangani masalah ini supaya tidak menjadi barah kepada negara.

"Kita perlu berusaha supaya masalah seperti tekanan perasaan, kemarahan, keganasan, kemurungan dan kejadian bunuh diri dapat dielakkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, purata dua kes bunuh diri dilaporkan setiap hari bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata sebanyak 609 kes dilaporkan pada 2019 dan 631 kes pada 2020, manakala dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini saja, sebanyak 468 kes bunuh diri dilaporkan.

Mengulas lanjut, Ivone berkata, pandemik COVID-19 memberi impak ketara kepada kesihatan mental dan kajian pusat penyelidikan, The Centre mendapati wanita bujang berusia 35 tahun ke bawah ialah golongan yang paling ramai mengalami masalah mental ketika tempoh itu.

"Bagaimanapun, penularan pandemik bukanlah satu-satunya faktor kepada masalah mental. Terdapat faktor lain mengakibatkan seseorang mengalami masalah itu yang menjurusnya

melakukan perkara tidak disangka-sangka.

"Masalah mental bukan seperti penyakit lain yang boleh dirawat dengan ubat. Penyakit ini perlu diubati dengan beberapa aspek seperti memberikan rawatan, kaunseling dan penjagaan emosi," katanya.

Pada masa sama, Ivone berharap, individu yang merasakan sesuatu yang tidak kena pada diri mereka, yang boleh menjurus kepada masalah mental supaya berjumpa pakar bagi mencari jalan menanganinya.

"Elakkan untuk terus memendam rasa jika mengalami masalah. Carilah orang yang boleh menjadi pendengar kepada luahan rasa anda itu.

"Anda perlu kuat dan bijak mengawal emosi diri. Jika anda mampu mengawalnya, pasti anda tidak akan terjerumus dalam kemurungan dan tekanan yang melampau," katanya.

Berita Harian X