Khamis, 1 Julai 2021 | 10:41am
Foto FB Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Foto FB Datuk Dr Zulkifli Mohamad

Tabung Musa'adah COVID-19 agih RM9.727 juta sumbangan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyalurkan sejumlah RM9.727 juta sumbangan daripada kutipan Tabung Musa'adah COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata secara keseluruhan, tabung itu sudah meraih sumbangan lebih RM13.43 juta sehingga 25 Jun dan baki RM3.72 juta yang masih belum diagihkan.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan adalah daripada program Mus'adah 1.0 dan 2.0 dari Mac tahun lalu sehingga Jun tahun ini.

Katanya, agihan bantuan berbentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan dan peralatan perubatan, projek baik pulih dan bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya.

"Justeru, saya menyeru dan merayu kepada dermawan, korporat serta seluruh rakyat Malaysia agar dapat terus menghulurkan lagi sumbangan ikhlas anda kepada tabung ini," katanya di akaun Facebooknya, hari ini.

Sejumlah RM160.41 juta diagihkan oleh agensi agama melalui Tabung Musa'adah COVID-19 2.0 dari jumlah keseluruhan RM0.5 bilion sejak Mac 2020.

Agihan itu membabitkan JAKIM sebanyak RM9.72 juta; Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM44.3 juta); Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM4.16 juta); Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (RM575, 000); Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (RM78.15 juta); Tabung Haji (18.41 juta); Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RM1. 31 juta); YWM (RM1.58 juta) dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP (RM2. 3 juta).

Berita Harian X